DR Nik Muhammad (tengah) meninjau kejayaan ahli peladang Gua Musang menternak ikan kolam di Kampung Lepan Jaya. FOTO Ramli Ibrahim.
DR Nik Muhammad (tengah) meninjau kejayaan ahli peladang Gua Musang menternak ikan kolam di Kampung Lepan Jaya. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebanyak RM39 juta sudah diagihkan kepada 274 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara yang dimanfaatkan hampir sejuta ahli.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pengagihan itu sekali gus dapat membangkit semula segala aktiviti ekonomi PPK yang sebelum ini terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"PRE sebanyak RM39 juta itu diagihkan kepada PPK menerusi LPP setiap negeri dan jumlah diperoleh bergantung bilangan PPK yang ada.

"Di Kelantan, peruntukan sebanyak RM3.92 juta diterima membabitkan 22 PPK," katanya kepada pemberita selepas melawat ternakan ikan kolam ahli peladang di Kampung Lepan Jaya, dekat sini, hari ini.

Dr Nik Muhammad mengakui dalam tempoh setahun pelaksanaan PKP Covid-19 bermula Mac tahun lalu memberi kesan kepada PPK.

"Alhamdulillah pengagihan ini dapat dilakukan secara teratur," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang sangat prihatin terhadap nasib petani.

Pada masa sama, Dr Nik Muhammad turut memuji ahli peladang di Gua Musang yang masih mampu bertahan dengan melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan pendapatan.

Katanya, bukan sahaja kejayaan menternak ikan kolam tetapi tanaman lain serta ternakan lembu.

"Adakalanya kita buat kaedah pengumpulan produk dari LPP dan kita kumpulkan seperti hasil tanaman yang dihasilkan petani untuk dipasarkan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 10:40 AM