KHAIRI (kiri) memberi dorongan kepada Muhammad Syukur sambil diperhatikan bapanya, Khamis Jusoh, 64. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
KHAIRI (kiri) memberi dorongan kepada Muhammad Syukur sambil diperhatikan bapanya, Khamis Jusoh, 64. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin (SMKPM) akan menyediakan sesi kaunseling khas untuk Muhammad Syukur Khamis, 15, sebaik hadir ke sekolah pada minggu hadapan susulan kematian 56 kerbau peliharaannya akibat hawar berdarah.

Pengetua sekolah, Khairi Mohd Noor berkata, pihak sekolah sedia maklum dengan musibah yang menimpa Muhammad Syukur sekeluarga sejak 9 September lalu.

"Pihak sekolah faham situasi Muhammad Syukur yang tidak hadir ke sekolah sejak dua minggu lalu.

"Muhammad Syukur perlu membantu bapa dan ahli keluarganya di kandang kerbau memandangkan penyakit hawar berdarah masih tidak pulih sepenuhnya.

"Sehubungan itu, sekolah menyediakan beberapa sesi kaunseling kepada Muhammad Syukur bagi mengatasi masalah trauma di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling," katanya ketika mengunjungi Muhammad Syukur atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' di kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKPM Zaki Mohd Noor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling, Faridah Akma Muhammad dan Siti Rokiah Abdullah.

Khairi berkata, pihaknya juga akan menyediakan bahan dan modul pembelajaran untuk Muhammad Syukur apabila hadir ke sekolah bermula minggu hadapan.

"Saya sudah maklumkan kepada guru kelas dan guru mata pelajaran untuk sediakan semua bahan dan modul pembelajaran yang tertinggal sepanjang Muhammad Syukur tidak hadir ke sekolah.

"Pihak sekolah juga akan mengadakan majlis khas untuk Muhammad Syukur di sekolah sebagai tanda sokongan kepadanya.

"Muhammad Syukur ialah ikon sekolah justeru warga sekolah juga turut bersedih dengan kejadian yang menimpanya sekeluarga," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan moral kepada Muhammad Syukur sekeluarga sepanjang menghadapi musibah berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sebanyak 56 daripada 110 kerbau milik Muhammad Syukur mati kerana diserang Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah sejak 9 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 1:05 PM