Lori yang ditahan di Jalan Terbak, Kelaboran dengan muatan 11 ekor lembu seludup dianggarkan bernilai RM138,600. FOTO IHSAN PGA
Lori yang ditahan di Jalan Terbak, Kelaboran dengan muatan 11 ekor lembu seludup dianggarkan bernilai RM138,600. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 11 ekor lembu serta 1,980 tin tembakau pelbagai jenama yang diseludup dari negara jiran dalam rampasan berasingan, semalam dan hari ini.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota terserempak dengan sebuah lori di Jalan Terbak, di sini, dalam keadaan mencurigakan pada 1.26 pagi semalam.

"Mereka kemudian mengarahkan pemandu agar memberhentikan lori terbabit dan hasil pemeriksaan menemui 11 lembu bernilai RM138,600 dipercayai diseludup dari Thailand.

"Pemandu lori dan kelindan berusia 47 tahun gagal mengemukakan dokumen permit pemindahan dan haiwan ternakan itu dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kesemua lembu itu dipercayai dibawa masuk dengan menyeberangi Sungai Golok menerusi pangkalan haram untuk pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Azhari berkata, pihaknya turut merampas 1,980 tin tembakau pelbagai jenama dan barangan runcit bernilai keseluruhan RM57,070 di Kampung Jejulok, di sini, pada 6.30 pagi tadi.

Menurutnya, anggotanya yang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang diparkir di tepi rumah menemui barangan terbabit.

"Tiada individu dalam kenderaan itu, namun anak kunci ditinggalkan di dalamnya.

"Anggota menunggu kira-kira 30 minit tapi tiada individu yang tampil menuntut barangan itu dan kita percaya ia juga diseludup dari Thailand menggunakan jalan yang tidak diwartakan," katanya.

Katanya, kedua-dua rampasan disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:01 PM