MASJID Razaleigh menyerupai Masjidil Haram Makkah akan dibuka tahun depan selepas Covid-19 berakhir. FOTO Ramli Ibrahim
MASJID Razaleigh menyerupai Masjidil Haram Makkah akan dibuka tahun depan selepas Covid-19 berakhir. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Masjid Razaleigh yang mempunyai sembilan menara dan menyerupai Masjidil Haram di Makkah, dijangka dibuka sepenuhnya pada tahun depan.

Ia selepas mengambil kira tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu belum tamat dan masih membimbangkan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata, masjid itu setakat ini hanya dibuka kepada pelawat dari seluruh negara.

Beliau berkata, masjid menelan belanja RM32 juta dan siap dibina di bandar lama, di sini, pada mulanya dirancang untuk dibuka pada Ramadan lalu, sekali gus diadakan solat Hari Raya Aidilfitri.

"Bagaimanapun, berikutan penularan Covid-19, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terpaksa menangguhkan pembukaan masjid berkenaan.

"Tengoklah macam mana pula keadaan Covid-19 tahun depan," katanya ketika ditemui selepas menyambut Ahli Persatuan Pesara Kerajaan Tumpat melawat Masjid Razaleigh hari ini.

Ab Aziz berkata, jika masjid itu dibuka ketika ini, jemaah mungkin kurang selesa kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan Covid-19.

Beliau berkata, sudah semestinya apabila masjid baru dibuka, jemaah ingin merasai nikmat keselesaan sama ada untuk solat lima waktu dan solat Jumaat.

Sementara itu, pelancong dari Kuala Lumpur, Muhamad Afandi Harun, 53, berkata, fikirannya terasa tenang apabila berada di dalam masjid terbabit.

Menurutnya, dia terasa seolah-olah berada di Makkah kerana Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:05 PM