Payalinda Yahya


Gua Musang: Lebih 3,000 jemaah menunaikan solat Jumaat yang pertama di Masjid Razaleigh, di sini, apabila dibuka secara rasmi, hari ini selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Pembukaan masjid menyerupai Masjidil Haram di Makkah dan dibina dengan kos lebih RM34 juta itu mampu menampung bilangan jemaah di Gua Musang yang semakin bertambah.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah melahirkan rasa gembira dengan pembukaan masjid itu secara rasmi.

"Saya memohon limpah perkenan Allah SWT supaya masjid ini akan terus menjadi pusat aktiviti muslim dan muslimah selain daripada fungsi utamanya sebagai tempat ibadat.

"Masjid ini dapat menampung bilangan jemaah seramai 3,500 orang pada satu-satu masa. Dengan pembukaan masjid ini, ia dapat menampung jemaah yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan Masjid Razaleigh kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang diwakili Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata, penyerahan masjid itu tertangguh ekoran pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.

"Saya meminta semua pihak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berdasarkan peralihan fasa ke endemik yang bermula hari ini.

"Hari ini adalah hari pertama jemaah menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal, namun semua jemaah perlu membawa sejadah masing-masing.

"SOP ini ditetapkan kerana kadar vaksinasi kita termasuk bagi dos penggalak agak terkebelakang berbanding negeri yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 4:55 PM