KEINDAHAN cahaya lampu Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram di Makkah di Bandar Lama, disini, yang diambil waktu malam. FOTO Ramli Ibrahim
KEINDAHAN cahaya lampu Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram di Makkah di Bandar Lama, disini, yang diambil waktu malam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TENGKU Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz melawat Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram di Makkah di Bandar Lama, Gua Musang, hari ini.

Masjid termoden dan yang pertama dibina mengikut model Masjidil Haram di Makkah itu menelan perbelanjaan RM28 juta dan bakal dibuka bulan depan.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meluangkan masa sejam untuk melihat keseluruhan bangunan masjid itu.

Lawatan Tengku Mohamad Rizam diiringi Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Taklimat berhubung pembinaan ilham Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu disampaikan Ketua Jajahan Gua Musang, Datuk Norazman Abd Ghani.

Norazman berkata, pembinaan masjid berkenaan sesuai dengan kemajuan Gua Musang berikutan penduduk yang semakin bertambah.

Katanya, Masjid Razaleigh sedia ada tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah semakin ramai dan berlaku kesesakan ketika solat Jumaat.

“Di sekitar masjid baharu ini dibina projek perumahan dan penghuninya nanti boleh menunaikan solat lima waktu di masjid terbabit,” katanya.

Masjid itu mula dibina pada akhir 2016 dan menjadi mercu tanda baharu Kelantan sebelum dibuka pada Ramadan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:21 PM