Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Minat terhadap artis K-pop mendorong seorang penuntut aktif semula melukis, sekali gus mengetengahkan bakat yang dimiliki.

Nureen Amani Saipulbahri, 20 berkata, dia minat melukis sejak kecil, namun ketika berusia 12 tahun dia melakukan percubaan sulung mewakili sekolah dalam pertandingan lukisan wajah Perdana Menteri.

Penuntut Diploma Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, Lendu, Melaka, berkata, dia tidak menyangka memenangi tempat ketiga pada pertandingan itu walaupun hanya menyertainya secara suka-suka.

"Selepas itu, saya tidak sertai mana-mana pertandingan dan berehat daripada melukis sehingga berada di tingkatan dua.

"Punca saya aktif semula melukis adalah kerana meminati K-Pop, saya gemar melukis wajah artis disukai dan memuat naik hasilnya di laman sosial.

"Tak sangka pula, ramai rakan mengatakan lukisan saya cantik dan maklum balas positif itu yang membuatkan saya terus melukis serta berkeyakinan untuk mengambil tempahan daripada pelanggan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan harga serendah RM30 setiap lukisan," katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP, di sini.

HASIL lukisan Nureen Amani. FOTO Asyraf Hamzah.
HASIL lukisan Nureen Amani. FOTO Asyraf Hamzah.

Menyedari pentingnya ilmu untuk menjadi pelukis, Nureen Amani menyambung pengajian di universiti tetapi terus mengambil tempahan melukis jika ada kelapangan terutama ketika cuti semester.

Katanya, sehingga kini, lebih 100 lukisannya sudah terjual manakala 50 lagi dihasilkan untuk koleksi sendiri.

"Kebiasaannya, pelanggan meminta saya untuk menghasilkan potret dan saya sendiri lebih cenderung dengan karya sebegitu kerana lebih realisitik dan nampak hidup.

"Disebabkan itu, saya banyak menghasilkan lukisan pemandangan, buah-buahan dan potret pemimpin nombor satu negara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan pensil warna," kata anak ketiga daripada lima beradik yang menetap di Pontian, Johor itu.

Menurutnya, dia seorang kidal dan melukis dengan tangan kiri bukan semudah disangka biarpun ia sudah menjadi kelaziman buatnya.

"Nampak senang tetapi tidak sebenarnya terutama ketika melakar sesuatu lukisan namun latihan berterusan yang membuatkan saya mahir.

"Saya juga mengambil setiap kritikan daripada pengikut di laman sosial dan pelanggan untuk memperbaiki kelemahan diri di samping mempraktikkan ilmu dan teknik dipelajari dengan pensyarah di kampus.

"Seorang daripada pelukis yang saya minati dan dijadikan rujukan adalah Marcello Barenghi dari Itali kerana lukisannya nampak realistik," katanya yang bercadang menyambung pengajian di peringkat ijazah.

NUREEN Amani leka melukis. Asyraf Hamzah.
NUREEN Amani leka melukis. Asyraf Hamzah.

Sementara itu, ibunya, Fairuz Mohd Yatim, 47 menyedari kebolehan Nureen Amani sejak di bangku sekolah.

"Saya lihat bakatnya semakin terserlah sejak dia kerap melukis gambar artis K-Pop dan kagum dengan bakat dimilikinya.

"Disebabkan itu, saya berikan sokongan, walaupun ada mengatakan bidang ini susah untuk mencari makan tetapi dia buktikan boleh mencari duit sendiri sebelum tamat pengajian dengan bakat yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 2:34 PM