Zulfaqar ketika mendeklamasi sajak sempena Sambutan Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di SMKBAS Kemasik. Foto Ihsan SMKBAS
Zulfaqar ketika mendeklamasi sajak sempena Sambutan Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di SMKBAS Kemasik. Foto Ihsan SMKBAS
Ahmad Rabiul Zulkifli

Chukai: Walaupun dilahirkan menghidap Cerebral Palsy (CP), ia tidak menghalang Zulfaqar Aslam Zulkefli, 20, dari Kampung Padang Kemasik di sini, mendeklamasi sajak sempena Sambutan Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah (SMKBAS) Kemasik.

Video pelajar tingkatan enam SMKBAS yang sedang mendeklamasikan sajak bertajuk Sumpah Anak Merdeka berdurasi satu minit 40 saat itu tular di media sosial sejak semalam sehingga menarik perhatian warganet.

Ibunya, Rohana Sulong, 50, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu memang berminat dan gemar membuat persembahan pentas sejak kecil.

"Bukan sahaja bersajak, malah Zulfaqar juga gemar dan mampu membuat persembahan lain termasuk bercerita dan memberi syarahan agama.

"Setiap kali ada majlis atau program di sekolah, Zulfaqar pasti akan mengambil bahagian dalam persembahan pentas.

"Zulfaqar sangat meminati bidang persembahan terutama bersajak malah mempunyai kemahiran menulis dan mencipta sajak sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rohana berkata, anaknya itu berada di kelas pendidikan khas sejak berusia lapan tahun hingga 16 tahun sebelum ditukarkan ke kelas biasa ketika berusia 17 tahun.

"Sebelum ini, Zulfaqar bersekolah di SMK Sultan Alaudin Riayat Shah 1, Pagoh di Johor dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sana.

"Saya bersyukur kerana dalam keadaan Zulfaqar yang serba kekurangan dia tetap bersemangat dan berkeyakinan untuk membuat persembahan pentas.

"Kami bangga dengan semangat patriotik yang dimiliki Zulfaqar, hanya dalam tempoh kurang seminggu dia menjalani latihan untuk mendeklamasi sajak berkaitan kemerdekaan itu," katanya.

Menurutnya, anaknya pernah beberapa kali menyertai pertandingan bercerita, syarahan agama dan menjadi johan pertandingan berkenaan.

"Terakhir pada 2018, Zulfakar menjadi johan Pertandingan Syarahan Agama sempena Program Semarak Islam dan Moral Peringkat Muar," katanya.

Sementara itu, Zulfaqar berkata, dia sentiasa bersemangat dan berkeyakinan untuk membuat apa sahaja persembahan pentas.

"Alhamdulillah, sepanjang membuat persembahan pentas di sekolah saya sentiasa mendapat sokongan dan tepukan gemuruh penonton.

"Sokongan dan sorakan penonton membuatkan saya lebih bersemangat untuk membuat persembahan," katanya.

Menurutnya, persembahan deklamasi sajak kemerdekaan itu diharap meningkatkan semangat patriotik di kalangan semua rakan pelajar.

"Saya ingin membuktikan kekurangan bukan halangan untuk tampil ke hadapan dan menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 5:39 PM