ASMIDAR gembira kempen ini menyatukan anak-anak seni dari pelbagai bidang tanpa mengenal warna kulit.
ASMIDAR gembira kempen ini menyatukan anak-anak seni dari pelbagai bidang tanpa mengenal warna kulit.
Ridzuan Abdul Rahman

Pelbagai cara boleh dilakukan bagi menggambarkan semangat kecintaan terhadap Malaysia meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-64 tahun, kelmarin.

Antara yang menarik ialah kempen #RISEandUNITE, Bangkit dan Bersatu yang digerakkan oleh beberapa penggiat seni tanah air.

RISEandUNITE, Bangkit dan Bersatu adalah satu kempen bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan serta sinar ke dalam jiwa rakyat Malaysia.

Kempen yang dicetuskan oleh Mike Manicka bersama Asmidar Ahmad ini juga adalah untuk memupuk rakyat agar bangkit untuk membela dan mengejar kejayaan, bersatu tanpa mengira bangsa kita, darah kita, Adam mahupun Hawa.

"Ini adalah untuk mencapai ke tingkatan diversiti dan keharmonian yang lebih baik, demi negara tercinta. Kami muncul dengan idea dan konsep kreatif menggabungkan 31 anak-anak seni untuk mendedikasikan rasa cinta kepada negara sempena Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia," kata Mike.

FAUZIAH Nawi mendeklamasi sajak untuk pembukaan.
FAUZIAH Nawi mendeklamasi sajak untuk pembukaan.

Mike berkata, dia mengakui video itu tidak sempurna, tetapi inilah keistimewaan apa yang dilakukan.

"Ketidaksempurnaan itulah yang menyatukan kita dan ia juga memberi peluang kepada wajah-wajah pentas yang jarang dilihat di kaca televisyen," katanya.

Asmidar yang popular dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang pula mengakui projek ini mungkin kecil, tetapi inilah yang menyatukan anak-anak seni dari pelbagai bidang tanpa mengenal warna kulit kerana seni tiada sempadan.

Melalui gabungan bacaan sajak Erti Kemerdekaan, lagu patriotik Malaysia Tanah Airku dan juga bacaan ikrar, video dengan durasi enam minit 18 saat itu menyuntik semangat patriotik dalam suasana sayu.

Pelakon terkenal Fauziah Nawi diberi penghormatan mendeklamasi sajak untuk pembukaan kempen ini.

Fauziah berkata, dia suka dengan video itu yang ditontonnya berulang kali dan boleh menaikkan bulu romanya.

"Saya rasa sedih, namun pada masa yang sama bangga kerana dapat bekerjasama dengan anak anak muda dalam projek ini," katanya.

KARL turut terbabit dalam kempen ini.
KARL turut terbabit dalam kempen ini.

Asmidar, Rio Siwas, Melissa Ong, Nave Vj, Fiza Thomas, Brian Chan, Nadia Aqilah, Kayilainaathar, Bihzhu, Fitri Hiswady, Pavy, Anding Indrawani, Ku, Hans Shahredza, Lilo Lillove, Elvira Arul dan Alesia Dhana menyumbangkan suara menerusi nyanyian.

Selain itu, Karl Shafek, Nasz Sally, Ah Chai, Yusof Hashim, Farah Ahmad, Faez Malek, Prem Sagar Krishnan, Sri Idrina, Akmal Ahmad, Lavinya KC, Naque Ariffin, Chopie Cakap, Mei Fan dan Amandus Paul menyampaikan bacaan ikrar.

Muzik lagu Malaysia Tanah Airku digubah semula oleh penyanyi dan juga penerbit muzik Damian Mikhail dan Harith Augustin.

Kempen ini juga adalah satu tanggungjawab sosial sesama anak anak seni dalam terus memupuk rasa cintakan negara melalui pendekatan di media sosial.

Setiap barisan penggiat seni terbabit akan berkongsikan video RISEandUNITE, Bangkit dan Bersatu di media sosial masing-masing.

Selain itu, ia juga boleh ditonton menerusi YouTube.

MIKE tampil dengan idea dan konsep kreatif menggabungkan 31 anak-anak seni untuk mendedikasikan rasa cinta kepada negara.
MIKE tampil dengan idea dan konsep kreatif menggabungkan 31 anak-anak seni untuk mendedikasikan rasa cinta kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:40 AM