NORFATIHAH (dua dari kiri) ketika mendeklamasi sajak  di puncak Bukit Batu Sawa sempena Program Pendakian Merdeka 2020, hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
NORFATIHAH (dua dari kiri) ketika mendeklamasi sajak di puncak Bukit Batu Sawa sempena Program Pendakian Merdeka 2020, hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


DEKLAMASI sajak oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani antara aktiviti dilakukan sempena Program Pendakian Merdeka 2020 di Bukit Batu Sawa, Jelebu, anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, hari ini.

Mohamad Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi mendeklamasi sajak bertajuk Hakikat Kemerdekaan dengan penuh semangat di puncak bukit setinggi 333 meter itu.

Kerani Pusat Khidmat Masyarakat DUN Klawang, Norfatihah Mohamad Azman turut mendeklamasikan sajak bertajuk Negaraku Tetap Merdeka.

Sebanyak 150 peserta mengambil bahagian menerusi program turut disertai pelbagai jabatan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan.

Norfatihah berkata, dia teruja membaca sajak dan kali pertama berbuat demikian dalam usahanya menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

"Biarpun penat kerana mendaki bukit termasuk laluan kecuraman 30 peratus saya tetap bersemangat membaca sajak, sekali gus menjadi kenangan untuk diri sendiri.

"Ini adalah sumbangan saya ketika menyambut Hari Kemerdekaan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Sementara, Adun Klawang, Bakri Sawir berkata, ini adalah program kedua selepas kali pertama diadakan pada 2018.

Beliau berkata, pihaknya membahagikan peserta kepada tiga kumpulan pendaki bagi mengelakkan berlaku kesesakan selain mengikut Prosedur Operasi Standard ( SOP ) ditetapkan kerajaan.

Katanya, Bukit Batu Sawa menjadi pilihan berikut ia antara kawasan tumpuan pendaki dan antara popular di Jelebu selain hanya mengambil masa antara 45 hingga 60 minit pendakian bergantung kepada stamina individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 11:13 AM