Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini menerima tujuh bot pemintas bernilai RM6.3 juta bagi mengukuhkan operasi Op Benteng di sepanjang perairan Selat Melaka.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, bot pemintas pelbagai jenis ini akan diagihkan kepada beberapa APMM negeri dan zon bagi memperkasakan penguatkuasaan di laut.

"Pasukan Tindakan Khas (PTK) akan menerima dua unit bot pemintas ini manakala APMM Perak, Melaka, Negeri Sembilan; Zon Maritim Kuala Kurau serta Zon Maritim Batu Pahat masing-masing bakal menerima satu unit bot pintas baharu ini.

"Sementara, Zon Maritim Kuala Perlis bakal menerima satu unit bot pemintas awal Oktober nanti.

"Keutamaan agihan bot pemintas ini diberikan kepada zon berdekatan kawasan perairan negara jiran yang terdedah kepada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, dadah dan sebagainya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semua bot pemintas ini dinamakan sebagai 'Kelas Benteng' selaras dengan keperluan bagi meningkatkan Penguatkuasaan Operasi Benteng di bawah 'National Task Force' (NTF).

Katanya, Op Benteng adalah operasi bersepadu yang dilancarkan sejak 12 Mei lalu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia dan APMM.

 Demonstrasi bot pemintas baharu milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang akan memperkukuhkan pengoperasian Op Benteng di sepanjang perairan Selat Melaka. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Demonstrasi bot pemintas baharu milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang akan memperkukuhkan pengoperasian Op Benteng di sepanjang perairan Selat Melaka. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara sama ada perairan atau darat serta mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati)

"Sejak Op Benteng dilancarkan sehingga Ogos tahun ini, APMM sudah memeriksa 22,815 vesel dengan 190 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 107 tangkapan membabitkan kes berkaitan perikanan; 27 kes Pati dan 18 kes berkaitan penyeludupan, manakala lain-lain sebanyak 38 kes.

"APMM juga turut merampas pelbagai barangan berkaitan kes berkenaan yang dianggarkan bernilai RM10 juta," katanya.


Zubil berkata, pihaknya mengingatkan kepada orang awam supaya terus memberikan kerjasama kepada semua agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan jenayah di laut.

"Mereka boleh terus menyalurkan maklumat jika ada sebarang kegiatan jenayah di laut dan bukan menjadi tali barut kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh menggugat keselamatan negara.

"Ia selaras dengan usaha kerajaan menyekat penyebaran wabak Covid-19 daripada masuk ke dalam negara melalui jalan laut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 2:12 PM