Ruwaida Md Zain

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan 9,048 kapal dan bot mencurigakan di perairan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pergerakan kapal dan bot terbabit kebanyakannya dikesan pada waktu malam dan ketika air pasang.

"Kita berjaya memintas kira-kira 20 peratus dari jumlah itu, yang dipintas menunjukkan beberapa aspek yang mencurigakan seperti kelajuan secara tiba-tiba, dua kontak itu bergabung, sekejap laju sekejap perlahan, cubaan masuk dari seberang.

"Sebab itu, kita sentiasa bersedia dan menjalankan pemantauan melalui kapal induk dan setiap kapal induk disediakan dengan bot pemintas.

"Kita letakkan bot pemintas dalam keadaan bersedia berhampiran kapal induk selama 24 jam agar mudah bergerak apabila sistem pengesanan radar kapal induk mengesan pergerakan mencurigakan di perairan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Jamil Rakon melakukan lawatan kerja dengan meninjau sektor operasi dan aset APMM yang diatur gerak bagi menjayakan Op Benteng

Hadir sama Pegawai Memerintah KM PEKAN Kepten Maritim Mohamad Soharto Mat Said dan Pengarah Maritim Malaysia Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim.

Jamil dibawa melawat aset APMM iaitu KM Pekan yang berada pada kedudukan 20 batu nautika dari Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Indah di Pelabuhan Klang hari ini.

Menurutnya, KM Pekan yang berpangkalan di Pahang didatangkan khas ke perairan Selat Melaka bertindak selaku kapal induk (mother ship) bagi memantapkan lagi Op Benteng.

"KM Pekan adalah sebuah kapal offshore patrol vessel (OPV) dan juga aset terbesar milik APMM selain KM Langkawi yang berpangkalan di Pahang serta KM Arau dan KM Banggi yang berpangkalan di Sabah.

"Kapal ini mempunyai kekuatan 10 pegawai dan 46 anggota penguat kuasa bagi menjayakan sesuatu operasi," katanya.

Beliau berkata, KM Pekan mempunyai pelbagai fungsi dan anggotanya mempunyai kemahiran tertentu seperti penyelam penyelamat, bilik rawatan kecemasan dan dek pendaratan pesawat.

"KM Pekan sering ditugaskan menjaga kawasan persempadanan perairan negara terutama di kawasan titik panas dan mampu berada di laut dalam tempoh 30 hari tanpa melakukan proses ulang bekal.

"Kehadiran KM Pekan ke sektor pengoperasian Op Benteng dilihat mampu memberi nilai tambah kepada operasi berkenaan," katanya.

FOTO Hiasan
FOTO Hiasan

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 5:53 PM