OP Pagar Laut yang dilakukan di sekitar kawasan perairan Selangor hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
OP Pagar Laut yang dilakukan di sekitar kawasan perairan Selangor hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Selangor: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melakukan rampasan bernilai RM7.3 juta menerusi 18 tangkapan pada Op Pagar Laut yang dilaksanakan bermula 9 April lalu.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, rampasan membabitkan kesalahan penyeludupan kontraban, pencerobohan bot nelayan asing (BNA) dan penyeludupan barang kawalan minyak masak.

"Daripada 18 kes itu enam kes membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) terdiri daripada 16 orang pelbagai negara, tiga kes penyeludupan kontraband rokok, tiga kes pencerobohan bot nelayan asing (BNA), satu kes penyeludupan barang kawalan minyak masak serta lima kes berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).

"Kejayaan ini adalah hasil rutin rondaan dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh 800 pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan dalam operasi ini di samping 45 pelbagai aset milik agensi ini," katanya selepas mengadakan tinjauan udara sempena Op Pagar Laut di sekitar kawasan perairan Selangor hari ini.

SAIFUL Lizan membuat pemantauan udara di sektor pengoperasian Op Pagar Laut sekitar Selat Melaka. FOTO Saifullizan Tamadi
SAIFUL Lizan membuat pemantauan udara di sektor pengoperasian Op Pagar Laut sekitar Selat Melaka. FOTO Saifullizan Tamadi

Menurutnya, pihaknya juga memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

"Selain maklumat perisikan, dan radar SWASLA, Maritim Malaysia juga menerima maklumat awam yang menyumbang kepada kejayaan kes tangkapan operasi ini.

"Justeru bagi mengekalkan momentum pencapaian operasi ini, orang ramai khususnya masyarakat maritim diseru menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia agar aktiviti jenayah maritim dapat dibanteras habis-habisan," katanya.

Katanya, maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan secara terus dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999.

Untuk rekod Op Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini adalah tahun kelapan, membabitkan semua Maritim Negeri termasuk Zon Maritim.

Pada tahun ini, Op Pagar Laut dilaksanakan bermula 9 April lalu dan berakhir sehingga 30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 2:16 PM