Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (kiri) dan Dr Sallina Mansor (dua dari kanan) pada majlis perasmian ‘Mentoring The Star’ di Seremban. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (kiri) dan Dr Sallina Mansor (dua dari kanan) pada majlis perasmian ‘Mentoring The Star’ di Seremban. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Guna kaedah baru [markas bergerak' atau dikenali [mobile port' bagi menyukarkan aktiviti penagihan dadah dikesan pihak berkuasa.

Taktik itu dianggap cabaran baru dihadapi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha mengesan kegiatan penagih dadah yang mengubah modus operandi.

Pengarah AADK Negeri Sembilan, Dr Sallina Mansor berkata, konsep berkenaan digunakan kumpulan penagih dadah bagi mengelak dan menyukarkan AADK menjejaki lokasi mereka.

Katanya, penagih sering bertukar tempat penagihan termasuk menjadikan rumah sebagai lokasi berkumpul untuk melepaskan ketagihan.

"Bukan mudah untuk mengesan penagih dadah ketika ini kerana tiada 'port' tetap sebaliknya mereka sentiasa bertukar-tukar lokasi.

"Justeru bagi memastikan penagih ini dapat dikesan, ahli keluarga dan komuniti setempat memainkan peranan penting untuk bekerjasama menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penagihan dadah," katanya selepas Program Integrasi Sosial 'Mentoring The Star' di Rumah Pangsa Jalan Tun Dr Ismail, di sini, tadi.

Majlis perasmian program bertemakan "Seremban Selamat, Dadah Terkawal 2025 disempurnakan oleh Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook dan turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong.

Mengulas lanjut, Dr Sallina juga berkata, kegiatan najis dadah di Negeri Sembilan masih membimbangkan walaupun tidak menunjukkan peningkatan ketara susulan sekatan pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, ketika PKP dan PKPP, bekalan dadah sukar diedarkan kerana sekatan yang dilaksanakan oleh pihak polis.

Menurutnya, penagih juga sukar bergerak kerana khuatir dengan penularan wabak pandemik Covid-19.

"Statistik daripada pihak polis dan agensi berkaitan mendapati kegiatan penagihan dadah menunjukkan penurunan sepanjang PKP dan PKPP sehingga hari ini.

"Bagaimanapun pembabitan kalangan golongan belia pada tahap membimbangkan. Sebagai contoh, daripada 865 orang kena pengawasan (OKP) di Seremban, seramai 365 daripadanya adalah belia," katanya.

Dalam pada itu, Dr Sallina menyambut baik usaha Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) supaya doktor turut berperanan mengesan penagih.

"Dengan kemunculan pelbagai dadah jenis baharu yang boleh merosakkan otak, langkah JKKNS ini yang menetap supaya doktor membantu mengesan penagih dilihat akan dapat membantu kita untuk mengesan penagih dan seterusnya membolehkan penagih ini menjalani pemulihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 4:43 PM