TANAH hutan simpan di Raub diteroka secara haram untuk tanaman durian. FOTO Arkib NSTP
TANAH hutan simpan di Raub diteroka secara haram untuk tanaman durian. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat

Jasin: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak akan campur tangan terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun durian di Raub, Pahang.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata ini kerana kementerian itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk bertindak atau menyelesaikan isu yang dikatakan sudah berlarutan selama 40 tahun itu.

"Hanya kerajaan negeri yang mempunyai kuasa untuk menanganinya kerana perkara berkaitan air dan tanah di sesebuah negeri adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kami di peringkat kementerian, hanya boleh menyediakan khidmat nasihat berkaitan pertanian, manakala selebihnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri," katanya selepas menutup Hari Ladang peringkat daerah Jasin, di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

AHMAD Hamzah menyerahkan replika cek bantuan pertanian di Jasin. FOTO Amir Mamat
AHMAD Hamzah menyerahkan replika cek bantuan pertanian di Jasin. FOTO Amir Mamat

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan peruntukan dan bantuan pertanian 2020 kepada usahawan tani daerah itu.

Yang turut hadir, EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Eliyas Saad.

Awal bulan lalu, kerajaan Pahang terpaksa bertindak tegas dalam menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, isu berkenaan diharap dapat menemui jalan penyelesaian bagi membolehkan hasil tanaman pekebun terbabit dapat terus dieksport ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 3:54 PM