Datuk Seri Ahmad Hamzah (bersongkok) menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi di Jasin. FOTO AMIR MAMAT
Datuk Seri Ahmad Hamzah (bersongkok) menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi di Jasin. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Jasin: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengesyorkan cili yang diimport ke negara ini hanya digunakan untuk membuat produk makanan seperti sos, manakala hasil tanaman yang diusahakan oleh pekebun tempatan pula, dijual sepenuhnya di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata, langkah berkenaan adalah untuk memastikan kepentingan pekebun di negara ini sentiasa terbela dengan hasil tanamannya digunakan oleh penduduk di negara ini.

Beliau berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh terdekat.

"Cili yang diimport itu perlu dikawal supaya hasil tanaman pekebun tempatan tidak menjadi lambakan sekali gus menyebabkan harganya jatuh.

"Bagi memastikan kepentingan pekebun kita terbela, saya mencadangkan supaya hasil tanaman mereka dijual sepenuhnya di pasaran tempatan, manakala cili yang diimport itu kita jadikan produk makanan lain seperti sos atau makanan berasaskan cili basah.

"Saya yakin, pekebun akan rasa terbela jika langkah ini dapat direalisasikan," katanya yang juga Ahli Parlimen Jasin pada sidang media di pejabatnya di Merlimau Utara, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini, penghasilan pengeluaran cili domestik mencatatkan 60 peratus berbanding 40 peratus cili import, khususnya dari Thailand.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, kerajaan berusaha untuk mengurangkan kadar kebergantungan terhadap cili import dengan pembabitan golongan belia untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Katanya, kementeriannya sentiasa menyokong pembabitan belia pada penghasilan tanaman cili tempatan, sekali gus dapat meningkatkan peningkatan tahap sara hidup (SSL) yang pada ketika ini berada pada paras 30.6 peratus.

Sementara itu, pada program berasingan, Ahmad turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada 60 pemandu teksi di sekitar Jasin.

Sumbangan terbabit bagi meringankan beban golongan berkenaan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 7:53 PM