TANAH hutan simpan di Raub diteroka secara haram untuk tanaman durian. FOTO Mohd Rafi Mamat
TANAH hutan simpan di Raub diteroka secara haram untuk tanaman durian. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pas Pahang menyokong penuh langkah yang diambil Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk bertindak tegas terhadap pekebun durian Musang King di Raub yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Jabar berkata, ketegasan itu tidak bermakna kerajaan negeri melakukan kezaliman terhadap pekebun terbabit tetapi sebagai pengajaran kepada rakyat di negeri ini supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ada.

"Pematuhan pada undang-undang tanpa mengira status bangsa dan kedudukan mereka bersesuaian dengan Pahang yang juga memiliki penduduk majmuk," katanya dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Wan Rosdy menjelaskan tindakan Kerajaan Pahang meminta semua pekebun mengosongkan tanah yang diteroka secara haram berdasarkan tindakan undang-undang dan tidak berhasrat untuk menindas pekebun durian Musang King di Raub.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur berkata, penerokaan tanah secara haram adalah isu negeri dan perlu diselesaikan mengikut undang-undang serta mesti adil kepada semua pihak.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan Pahang pernah bertindak terhadap pekebun haram tanpa mengira bangsa dengan menggunakan agensi berwajib di peringkat negeri.

"Justeru dalam isu ini Pas Pahang meminta supaya semua pihak berkuasa dan agensi yang terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) memainkan peranan.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) sekalipun boleh bertindak, siasat sekiranya terdapat unsur rasuah dalam isu ini. Rakyat sedang memerhati dan menilai kewibawaan kerajaan Pahang ketika ini dan ia diharap dapat diselesaikan dengan cara terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, rundingan antara kerajaan negeri dan pekebun perlu berakhir dengan keputusan yang bersifat 'menang-menang' bukan saja untuk pekebun Musang King tetapi turut membabitkan pekebun pertanian lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 11:15 AM