Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pesara dan kakitangan kerajaan antara sasaran sindiket Macau Scam dengan jumlah kerugian lebih RM5 juta sepanjang tahun ini.

Mereka menyasarkan kakitangan kerajaan memandangkan lebih mudah untuk membuat pinjaman bank berbanding golongan lain.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, jumlah kerugian sepanjang tahun ini meningkat mendadak berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, ia menyaksikan tahap kesedaran rakyat di negeri ini masih lagi rendah sehingga mudah diperdayakan sindiket Macau Scam.

"Lebih licik, sindiket berkenaan menggunakan orang kampung dengan menawarkan jumlah wang tertentu kononnya duit bantuan, namun meminta penduduk berkenaan membuka akaun bank sebelum kad dan nombor akaun berkenaan diserahkan kepada mereka.

"Nombor akaun dibuka penduduk kampung itu akan digunakan sindiket berkenaan bagi menerima wang daripada mangsa yang berjaya diperdaya.

"Disebabkan itu, kita sukar untuk mengesan sindiket berkenaan. Apabila kita semak akaun yang mangsa memasukkan wang, didapati akaun berkenaan milik penduduk kampung dan mereka tidak tahu rupanya dipergunakan sindiket Macau Scam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan ugutan sindiket berkenaan, sebaliknya memaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu.

"Baru-baru ini ada seorang wanita kerugian sehingga lebih RM500,000 dan sanggup membuat pinjaman kerana takutkan sindiket Macau Scam.

"Apa salahnya rujuk dahulu pihak polis sebelum membuat sebarang keputusan.

"Pada masa sama, kita akan pertingkatkan kempen kesedaran dengan berjumpa orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 2:50 PM