Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Siasatan Jenayah Komersil Johor menerima 250 laporan polis membabitkan kes Macau Scam dengan jumlah kerugian berjumlah RM10.9 juta, sejak awal tahun ini hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, sejak kebelakangan ini, sindiket Macau Scam mensasarkan guru, pesara dan warga emas sebagai sasaran utama penipuan.

Katanya, kajian dibuat mendapati, daripada jumlah itu, 21 kes membabitkan guru dengan jumlah kerugian RM900,296.89.

"Sebanyak 21 kes dilapor membabitkan golongan pesara dengan jumlah kerugian RM3.04 juta manakala 51 kes membabitkan warga emas dengan jumlah kerugian RM4.64 juta.

"Memandangkan golongan ini sering menjadi mangsa, adalah disarankan mereka memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat dan membuat semakan dengan pihak berkuasa.

"Semakan itu perlu dibuat sekiranya dihubungi oleh individu tertentu yang mendakwa sebagai pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menyamar sebagai pegawai bank serta mengarahkan mereka membuat transaksi wang ke akaun tertentu," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai, khususnya dalam kalangan golongan disasarkan, supaya lebih berhati-hati.

"Ahli keluarga boleh menasihati golongan berkenaan dan berkongsi maklumat mengenai sindiket Macau Scam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 5:43 PM