GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rozaimy Ridzuan

CUBA anda tanya mereka di sekeliling sama ada pernah atau tidak menerima panggilan telefon, WhatsApp mahupun SMS yang berupa scam daripada pihak tidak dikenali?

Penulis bertanyakan hal ini berikutan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia diganggu panggilan seumpama ini menyebabkan ramai yang terpedaya taktik kotor memindahkan ratusan ribu wang kepada sindiket terbabit.

Ada dua kategori scam iaitu dalam bentuk digital (penipuan melalui e-mel, WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter) dan kejuruteraan sosial iaitu penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah dan bank bertujuan mendapatkan data peribadi mangsa dan untung atas angin.

Macau Scam adalah aktiviti penipuan wang yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan serta menggelapkan duit mangsa menggunakan akaun bank milik rakyat tempatan yang digelar sebagai keldai wang.

Keldai wang ialah orang yang terbabit dalam urusan pemindahan wang untuk orang lain secara haram dan menyalahi undang-undang.

Kajian mendapati sindiket Macau Scam menjadikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai keldai wang bagi merancakkan aktiviti penggelapan duit daripada mangsa.

Pelajar yang ketandusan wang untuk menyara pengajian membuka akaun bank dan sindiket Macau Scam mengarahkan mangsa memindahkan wang dalam akaun pelajar itu.

Seterusnya, wang itu dikeluarkan secara tunai sebelum dihantar ke luar negara melalui khidmat money changer dan seumpamanya.

Menurut perangkaan dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, jumlah kerugian membabitkan Macau Scam meningkat 55.5 peratus antara 2017 hingga 2018.

Hakikatnya, 'teknik melemahkan musuh' yang digunakan sindiket ini bukan calang-calang.

Sesiapa saja boleh menjadi mangsa penipuan sindiket ini termasuk golongan profesional, pesara kerajaan dan sebagainya.

Malah, seorang ketua polis daerah juga pernah cuba diperdaya sindiket ini.

Helah yang dimainkan sindiket ini pelbagai mengikut trend semasa.

Mereka membuat panggilan telefon dan memberitahu kononnya mangsa memenangi pertandingan cabutan bertuah (lucky draw) bernilai jutaan dolar daripada syarikat Hong Kong dan Macau.

Untuk itu, mangsa kononnya perlu membayar cukai dan insurans dengan cara memasukkan wang dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah berkenaan.

Bagi mangsa yang mudah teruja dengan hadiah ditawarkan, mereka cepat-cepat meninggalkan sudip di dapur untuk memindahkan wang dalam akaun seperti diarahkan.

Selain itu, ramai juga mangsa digertak si sindiket yang menyamar pegawai polis, staf bank dan mahkamah.

Mereka ini mendakwa mangsa menjalankan aktiviti penggubahan wang haram, tidak membayar hutang kad kredit, terbabit kes langgar lari dan pengedaran dadah.

Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah itu, mangsa perlu memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun pihak ketiga.

Apa yang lebih malang, sindiket terbabit mengarahkan mangsa membuat pinjaman peribadi daripada bank jika tidak mampu untuk memindahkan sejumlah wang seperti diarahkan.

Ada juga mangsa yang terpaksa menjual rumah bagi memenuhi kehendak sindiket ini.

Hakikatnya, kurang kesedaran berkaitan kegiatan scammer mendorong kelestarian jenayah ini di Malaysia.

Pelbagai forum berkaitan sindiket Macau Scam diadakan, namun belum ada simptom menunjukkan berlaku penurunan kes jenayah ini.

Sikap apathy terhadap taktik terbaharu sindiket ini jelas memberikan ruang kepada mereka menangguk di air keruh kerana umum mengetahui bahawa ramai orang dibebani masalah kewangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Modic dan Lea (2011) mendapati bahawa sikap ambil mudah dikaitkan dengan kebarangkalian seseorang individu itu menjadi mangsa penipuan.

Ditambah pula dengan fakta bahawa Malaysia secara relatifnya, antara negara yang mempunyai sistem telekomunikasi yang baik sudah membuatkan kita 'terpilih' sebagai pusat operasi antarabangsa sindiket ini.

Tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia, baik yang muda mahupun yang tua sama-sama mengambil tahu berkaitan aktiviti sindiket Macau Scam ini.

Ada beberapa kata kunci yang boleh digunakan sebagai saringan awal bagi mengenal pasti aktiviti sindiket ini seperti arahan 'anda perlu membuat bayaran segera', 'anda tidak boleh beritahu sesiapa', 'anda perlu memberitahu nombor akaun/nombor kad kredit/debit, kad ATM, nombor TAC' dan sebagainya.

Justeru, orang ramai diminta tidak mudah terpedaya tipu
helah pihak tertentu.

Secara logik, kita pasti sukar mempercayai bagaimana mudahnya wang simpanan dikeluarkan dan dipindahkan ke akaun pihak lain yang tidak dikenali, selain tidak pernah pun bersua muka.

Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut dan jangan sesekali mendedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit kepada orang yang tidak dikenali.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih seperti Trucaller dan Nomorombo untuk membantu anda mengenal pasti siapa yang menghubungi anda dan menyekat nombor yang sering menghubungi anda.

Jangan ambil sikap sambil lewa sehingga membiarkan mereka terus menjadi ular sawa.

Penulis adalah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:00 AM