TUANKU Muhriz berkenan memberi tabik hormat kepada barisan Exco Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan wakil petugas barisan hadapan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS). FOTO BERNAMA
TUANKU Muhriz berkenan memberi tabik hormat kepada barisan Exco Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan wakil petugas barisan hadapan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS). FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2020 peringkat Negeri Sembilan dengan norma baharu diadakan secara tertutup di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), hari ini, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia dihadiri 300 orang terdiri daripada jemputan khas membabitkan orang kenamaan, pemimpin parti dan setempat.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Datuk Syahbandar, Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta pegawai kerajaan.

Majlis bermula 8.40 pagi dan berakhir 9 pagi membabitkan acara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku oleh pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) dan Pasukan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi.

Turut diadakan bacaan ikrar Rukun Negara diketuai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun manakala doa dibacakan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Tiada perarakan seperti lazimnya diadakan pada sambutan kali ini.

Aminuddin berkata, majlis pada hari ini diadakan secara tertutup dan ringkas sahaja kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Di kesempatan ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana hari ini adalah hari ketiga Negeri Sembilan diisytiharkan sebagai zon hijau Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS).

"Mengambil semangat daripada bulan kemerdekaan ini, marilah kita menguatkan semangat dalam mematuhi semua arahan pihak berkuasa bagi mengekang pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 5:40 PM