GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan mewajibkan pemakaian pelitup muka sekiranya kes Covid-19 merekodkan peningkatan mendadak di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia adalah langkah drastik yang akan diambil jika memerlukan.

Katanya, bagaimanapun ketika ini penularan virus itu di negeri ini masih rendah dan terkawal.

"Kita antara negeri yang terendah kes Covid-19 pada masa ini, namun sebagai langkah keselamatan, kita galakan rakyat Negeri Sembilan memakai pelitup muka.

"Kita tidak nafikan ada orang cakap, tak pakai pelitup muka pun kena (Covid-19), pakai pelitup muka pun kena. Jadi.. bagi kita yang ada kesedaran, gunakanlah pelitup muka," katanya selepas merasmikan Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya akan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-75 pada 14 Januari ini.

Katanya, majlis berkenaan dijadualkan akan berlangsung di Istana Seri Menanti Kuala Pilah, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 6:59 PM