Nur Izzati Mohamad

RATA-pinangRATA penduduk Pulau Pinang meluahkan kekecewaan sekiranya perkhidmatan feri ditutup selama tiga bulan bermula September ini memandangkan ia mod pengangkutan penting bagi penduduk negeri itu.

Perkhidmatan feri itu dikatakan memberi banyak kemudahan kepada penduduk negeri untuk ke bahagian pulau yang menempatkan bangunan kerajaan, begitu juga pergerakan penduduk ke bahagian seberang.

Seorang penduduk, Allini Husna Ahmad Husni, 19, berkata, perkhidmatan feri bukan sahaja memudahkan orang awam untuk bergerak, ia juga menjimatkan selain dapat mengelak kesesakan di jalan raya.

"Feri dekat dengan hati rakyat negeri ini tidak kira muda atau tua kerana ia adalah ikon kebanggaan Pulau Pinang.

"Apabila ada desas desus untuk tutup (sementara) perkhidmatan ini sudah tentu rasa sedih terutama bagi pekerja yang berulang-alik menggunakan feri serta penduduk Seberang Perai yang selalu pergi bersiar-siar ke bahagian pulau," katanya ketika ditemui, hari ini.

RAPID Ferry dengan nama Pulau Angsa meneruskan perkhidmatan ketika dirakamkan di Terminal Feri Pangkalan Tun Raja Uda. FOTO DANIAL SAAD
RAPID Ferry dengan nama Pulau Angsa meneruskan perkhidmatan ketika dirakamkan di Terminal Feri Pangkalan Tun Raja Uda. FOTO DANIAL SAAD

Tinjauan yang diadakan di Terminal Feri Penang Sentral, Butterworth, mendapati perkhidmatan feri yang tergendala selama tiga hari sudah beroperasi sepenuhnya hari ini.

Bagi peniaga, Lili Suriati Saad, 52, berkata, walaupun selama tiga hari tiada ketiadaan feri sudah membuatkan hatinya sayu bagaimana pula apabila perkhidmatan itu ditamatkan kelak.

"Saya penduduk yang membesar melihat feri dan pergi ke mana-mana sahaja menggunakan perkhidmatan itu untuk menjimatkan masa serta kos untuk ke bahagian pulau.

"Bayangkan masa tutup beberapa hari sahaja terasa sunyi sangat dan perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan di sini juga menurun.

"Walaupun ada digantikan dengan perkhidmatan bas tetapi lain sangat bila tiada ketiadaan feri kerana gerai kecil di sini akan dikunjungi pengunjung yang menaiki feri," katanya.


Baru-baru ini, kerajaan negeri meminta pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya menangguhkan terlebih dahulu hasrat menghentikan perkhidmatan feri selama tiga bulan mulai 1 September sebagaimana makluman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa hasrat menghentikan perkhidmatan feri selama tiga bulan mulai 1 September depan adalah bagi memberi laluan terhadap kerja pengubahsuaian terminal.

"Namun, kerajaan meminta MOT supaya kemukakan pelan perancangan keseluruhan kerja naik taraf serta pengoperasian feri baru dibentangkan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

"Ini memandangkan perkhidmatan feri adalah salah satu mod pengangkutan awam penting kepada seluruh rakyat negeri ini secara keseluruhan.

"Hal ini demikian kerana, kerajaan negeri tidak tahu apakah jenis feri yang bakal digunakan sama ada untuk penumpang sahaja atau boleh (mengangkut) kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 5:08 PM