Hazani Hussin.
Hazani Hussin.
FERI Kuala Perlis.
FERI Kuala Perlis.
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Orang ramai mahu kenaikan tambang feri perjalanan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke pulau ini mulai hari ini biarlah setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Tinjauan mendapati mereka pengurusan Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) tidak hanya fokus keuntungan, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap kebajikan penumpang.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Penduduk Langkawi (LRTA), Hazani Hussin berkata kenaikan tambang yang diumumkan semalam, tidak membabitkan penduduk tempatan kerana syarikat feri mengekalkan harga lama untuk penduduk Langkawi.

"Namun, pengekalan harga tambang lama kepada penduduk Langkawi itu hanya pembelian tiket di kaunter sahaja, jika belian dalam talian tetap dikenakan harga baharu sama seperti pelancong.

"Jadi, pengusaha feri perlu segera menaik taraf sistem pembelian tiket dalam talian bagi membolehkan penduduk tempatan terus menikmati kadar tambang lama," katanya ketika dihubungi di sini.

Yusof Abdullah.
Yusof Abdullah.

Penduduk, Yusof Abdullah, 60, turut meminta pengusaha feri lebih cakna terhadap kebajikan penumpang pelbagai peringkat usia selepas permohonan mereka menaikkan tambang feri diluluskan kerajaan.

"Kenaikan tambang biarlah seiring dengan peningkatan perkhidmatan termasuk keselesaan berada dalam feri, jadual perjalanan lebih kerap dan pembelian tiket dalam talian yang memudahkan penduduk tempatan.

"Kita tidak mahu penduduk dibuat seperti bola, ketika nak beli di kaunter petugas minta beli dalam talian, tapi harga dalam talian tiada potongan istimewa untuk warga Langkawi," katanya.

Seorang lagi penduduk, Amran Raman, 35, turut mahukan konsortium feri bersedia menyelesaikan isu dihadapi penumpang sekian lama termasuk kekurangan trip dan waktu feri bertolak dari pelabuhan sering tertunda dan tidak mengikut jadual ditetapkan.

"Selepas kenaikan tambang mulai hari ini, kekerapan perjalanan feri perlu ditambah bukan seperti yang ada sekarang iaitu sekitar empat trip sehala yang tidak membantu penduduk tempatan dan pelancong.

"Selain itu, sokongan penduduk terhadap kenaikan tambang adalah bersyarat iaitu perkhidmatan mesti lebih baik dan baiki segera sistem pembelian tiket secara dalam talian untuk warga Langkawi," katanya.

Semalam, media melaporkan, Ferry Line yang mengendalikan perkhidmatan feri bagi laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi mengumumkan kenaikan tambang di antara RM3 hingga RM11.50 mengikut kategori umur, berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 2:44 PM