BERNAMA

Georgetown: Penang Port Sdn Bhd (PPSB) memberi jaminan perkhidmatan bot laju baharu membabitkan tiga bot penumpang bermula pada 1 Januari depan lebih selamat dan selesa berbanding perkhidmatan feri lama.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port PPSB, V Sasedharan berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan bilangan penumpang pejalan kaki daripada 1.3 juta orang pada 2019 kepada 1.8 juta pada tahun depan.

"Kita anggar peningkatan ini disebabkan perkhidmatan itu begitu selesa, mempunyai pendingin hawa sepenuhnya dan pantas.

"Saya rasa itu (perkhidmatan baharu) akan menjadi produk pelancongan negeri ini," katanya kepada pemberita ketika lawatan dan tinjauan operasi perkhidmatan feri baharu bersama media di Terminal Kapal Persiaran Swettenham, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot baharu berkenaan yang akan digunakan semasa fasa interim bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 memperoleh lesen daripada Jabatan Laut Malaysia.

Menurutnya, perjalanan menggunakan bot laju itu hanya mengambil masa kira-kira tujuh minit sehala dengan kekerapan setiap 30 minit.

"Feri laju untuk penumpang akan bermula dari 6.30 pagi hingga 11.30 malam.

"Bermula 1 Januari ini, perkhidmatan feri sedia ada hanya boleh digunakan penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan untuk membawa penumpang individu," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Januari 2021, diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022.

Pada 17 Disember lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada 2021 dan 2022.

Sebagai langkah sementara, kementerian itu menyatakan PPSB akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh berkenaan.

Pengamal media tidak melepaskan peluang merakamkan feri ikonik Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Pengamal media tidak melepaskan peluang merakamkan feri ikonik Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 7:49 PM