Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Berikutan maklumat tular penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang, sekeluarga dari Kuala Lumpur memilih menaiki pengangkutan awam itu sebaik tiba di negeri ini, hari ini.

Hayati Abdul Tahir, 36, berkata, dia datang bersama 10 ahli keluarga memilih menaiki feri untuk kenangan mereka sekiranya benar perkhidmatan sejak 1894 itu tamat.

"Ini kali kedua saya menaiki Feri Pulau Pinang dan kali pertama ketika berusia 12 tahun. Sudah tentu ia memberi kenangan manis.

"Sekiranya digantikan dengan penggunaan bot baru, wajarlah ia (feri) dikekalkan sebagai tarikan dan kesinambungan sejarahnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang Hazizi Padzil mahu kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula cadangan menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan bot.

Sebaliknya, beliau berkata, kualiti pengangkutan ikonik itu yang perlu dipertingkatkan, berbanding dihentikan apatah lagi perkhidmatan bot gantian masih kurang jelas, selain terdapat cadangan penggunaan bot katamaran untuk pejalan kaki sahaja.

TULAR dalam laman sosial, perkhidmatan ikon kepada Pulau Mutiara ini bakal berakhir tahun ini dan digantikan dengan feri hanya untuk penumpang pejalan kaki bermula tahun hadapan. FOTO DANIAL SAAD
TULAR dalam laman sosial, perkhidmatan ikon kepada Pulau Mutiara ini bakal berakhir tahun ini dan digantikan dengan feri hanya untuk penumpang pejalan kaki bermula tahun hadapan. FOTO DANIAL SAAD

"Bagaimana dengan nasib penumpang berkenderaan ringan seperti motosikal, kereta, van dan lori empat tayar yang selama ini menggunakan perkhidmatan feri yang menghubungkan kawasan tanah besar dan pulau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazizi berkata, tidak menolak pemodenan dan feri yang uzur perlu diganti dengan perkhidmatan pengangkutan air lain namun menegaskan perkhidmatan sedia ada, menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau masih boleh ditingkatkan kualitinya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut dilapor berkata, mahu kerajaan menilai kembali cadangan penggantian feri dan membenarkan perkhidmatan sedia ada dibangunkan semula dengan penambahbaikan yang membolehkan penumpang berkenderaan menikmatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 9:08 PM