Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN akan mencari kaedah lain untuk mengawal pemaju daripada membina rumah yang tidak bertepatan dengan kehendak pasaran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata dengan pembangunan sistem data yang menyeluruh, ia akan membantu pihaknya mendapatkan hala tuju yang betul kepada pemaju membina rumah.

Katanya, dalam tempoh lima hingga 10 tahun lalu, banyak unit rumah yang tidak terjual dan pemaju dikenakan cukai pengosongan.

"Oleh kerana kita melihat rumah yang tidak terjual yang diambil untuk kajian berharga RM500,000 ke atas, kita masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan.

"Kita akan tengok kaedah lain untuk kawal pemaju sebelum pembinaan, KPKT akan meneliti sama ada projek yang dicadangkan adalah berdaya maju dan tepat dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) yang meminta kerajaan menyatakan apakah rasional cadangan kementerian untuk melaksanakan cukai pengosongan.

Katanya, dengan adanya sistem data berkenaan, ia membolehkan perancangan dibuat melalui maklumat statistik.

"Dengan penularan Covid-19, pemaju juga sedar hala tuju sebelum ini adalah tidak tepat dan mereka sekarang digalakkan untuk membina rumah bernilai RM500,000 ke bawah," katanya.

ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP
ZURAIDA Kamaruddin. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 11:49 AM