MELIHAT keindahan Awan karpet di atas Bukit Bosar di Ulu Bayai, Kampung Bayai Baru, Jempol. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MELIHAT keindahan Awan karpet di atas Bukit Bosar di Ulu Bayai, Kampung Bayai Baru, Jempol. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


BUKIT Besar atau lebih dikenali sebagai Bukit 'Bosar' yang terletak di Kampung Bayai Baru, Jempol bakal menjadi lokasi baharu buat pendaki.

Ketua Bayai Hikers, Mohd Amin Zakaria, 30, berkata laluan ke bukit setinggi 387 meter dari aras laut itu mudah dan tidak berbahaya serta boleh sampai ke puncak kurang sejam perjalanan.

Menurutnya, kewujudan bukit itu sudah lama diketahui oleh penduduk kampung, namun dia bersama kumpulannya mula meneroka bukit itu sejak dua tahun lalu.

"Orang ramai tak tahu di sini ada bukit yang sesuai dijadikan lokasi baharu bagi pendaki bukit. Selain dapat melihat 'awan karpet' dalam masa yang sama mereka akan di bawa melihat lokasi bersejarah, tapak kaki manusia yang besar di atas bukit ini yang mempunyai pelbagai cerita misteri.

"Paling baik, mula naik seawal tiga pagi, pemandangan kabus tebal, melihat 'awan karpet' sangat mengujakan. Ia adalah nikmat alam ciptaan Tuhan," katanya.

Mohd Amin berkata, orang ramai yang berminat naik ke Bukit Bosar, boleh juga mula naik bermula jam enam pagi atau selewat-lewatnya tujuh pagi.

"Kalau boleh bawalah pakaian yang sesuai kerana jika hujan trek licin dan kumpulan Bayai Hikers sedia menjadi jurupandu untuk ke lokasi Bukit Bosar kepada yang berminat.

"Kami tidak mengenakan sebarang bayaran tetap tetapi mengalu-alukan sebarang sumbangan ikhlas yang dimasukan ke dalam tabung 'Group Bayai Hikers' untuk pembangunan lokasi baru pelancongan aktiviti memanjat bukit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:33 PM