JEREBU kuat menghalang pemandangan awan karpet yang menjadi keunikan Bukit Senaling.
JEREBU kuat menghalang pemandangan awan karpet yang menjadi keunikan Bukit Senaling.
Zaitie Satibi


BUKIT Senaling yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan tidak asing lagi dalam kalangan kumpulan pendaki berikutan keindahan pemandangan awan karpet yang terbentuk di sekitar puncak bukit berkenaan.

Hamparan putih awan karpet dikatakan terbentuk akibat wap dan kabus daripada tanah dan pokok yang mengelilingi bukit berkenaan.

Proses kejadian alam semula jadi itu memaparkan pemandangan cukup indah terutama apabila berada di puncak dengan ketinggian 394 meter. Malah, waktu paling sesuai untuk menyaksikan awan karpet itu sebaik-baiknya pada Oktober hingga Januari.

Bagi menyaksikan sendiri keindahan ciptaan Tuhan itu, seramai 38 ahli kumpulan penggiat sukan lasak Outdoor Team Malaysia (OTiM), Hiking And Recreation Around Malaysia (HARAM) dan Rockhopper Outdoor memanfaatkan cuti Hari Malaysia, baru-baru ini, untuk mendaki bukit berkenaan.

Presiden OTiM, Suhairy Ismail berkata, semua pendaki datang dari ibu negara, Melaka dan sekitar Negeri Sembilan mula mendaki bukit pertama sehingga tiba di kawasan kebun getah sebelum menuju ke ladang kelapa sawit.

TIGA kumpulan pendaki bergambar kenangan di puncak bukit.
TIGA kumpulan pendaki bergambar kenangan di puncak bukit.

“Dalam ladang kelapa sawit ini kami melintasi sungai kecil dan melalui jalan tanah merah. Semakin berjalan, trek semakin menaik tetapi masih pada tahap ringan. Kami berjalan sehingga penghujung ladang dan selepas itu memasuki kawasan hutan sehingga ke puncak Bukit Senaling.

“Masuk kawasan hutan, laluan semakin bercerun dan aktiviti pendakian bermula. Pendakian di bukit ini tidak terlalu mencabar dan sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam kegiatan ini. Malah, kanak-kanak mahupun warga emas juga sesuai mendaki.

“Kami meneruskan perjalanan sehingga tiba di kawasan agak tinggi dan laluan semakin landai menuju ke puncak. Tempoh masa kami mendaki dalam anggaran satu jam setengah dengan jarak kira-kira tiga kilometer dari trek pemula,” katanya.

Menyentuh sedikit sejarah di Bukit Senaling, tanah tinggi ini dikatakan pernah menjadi tapak kem bagi tentera British pada zaman penjajahan sekitar 1890-an. Di puncak bukit ini masih terdapat tinggalan lama tentera terbabit iaitu beirut atau penanda puncak berbentuk segi tiga yang diperbuat daripada besi.

KUMPULAN jurupandu Ulu Senaling Hiker bergambar di papan tanda Bukit Senaling.
KUMPULAN jurupandu Ulu Senaling Hiker bergambar di papan tanda Bukit Senaling.

Suhairy berkata, kumpulan mendaki tiba di puncak kira-kira jam 7 pagi, namun sedikit kecewa kerana awan karpet yang didambakan ‘tidak muncul’ berikutan cuaca berjerebu agak teruk. Biarpun demikian, peserta pendaki tetap berpuas hati kerana dapat menawan bukit yang tersenarai dalam lokasi wajib datang.

“Kami tidak dapat merakamkan pemandangan indah dan menjadi fenomena ini menerusi lensa kamera mereka kerana suasana jerebu menenggelamkan latar belakang gambar. Malah, kami juga menghadapi masalah mengambil gambar pemandangan luas dan jauh kerana latar belakang sangat kabur.

“Kira-kira dua jam berehat kami pun turun untuk acara perasmian papan tanda yang dipasang di jalan masuk ke Bukit Senaling. Papan tanda ini dibangunkan bagi memudahkan pendaki terutama yang datang dari luar negara untuk mencari Bukit Senaling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:39 AM