PESERTA Komuniti Sihat Ekspedisi Mendaki Bukit Senaling bergambar di atas puncak.
PESERTA Komuniti Sihat Ekspedisi Mendaki Bukit Senaling bergambar di atas puncak.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Bayaran RM15 yang dikenakan kepada pendaki yang ingin menikmati keindahan Bukit Senaling, di sini, dianggap berpatutan.

Bukit Senaling yang berketinggian 394 meter itu lokasi pelancongan terbaru di negeri ini yang terkenal dengan nama awan karpet dan semakin menjadi tumpuan pengunjung termasuk dari luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling Datuk Ismail Lasim berkata, bayaran itu termasuk permit mendaki, perkhidmatan juru arah, tandas dan bilik air serta kos membaik pulih laluan pendakian.

“Sebanyak 70 peratus kawasan bukit berkenaan adalah tanah milik persendirian yang perlu dibayar.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan 10 juru arah lengkap dengan alat perhubungan (walkie-talkie) bagi memantau pergerakan dan keselamatan pendaki serta memberi bantuan awal kepada pendaki cedera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketidakpuasan hati terhadap bayaran RM15 yang dikenakan untuk menaiki Bukit Senaling tular di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai komen netizen.

Beliau ditemui pada program Komuniti Sihat Ekspedisi Mendaki Bukit Senaling, di sini, semalam.

Program anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, UMNO Bahagian Kuala Pilah, Majlis Belia Daerah Kuala Pilah (MBDKP), Majlis Belia Negeri Sembilan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hutan menarik 250 pendaki menyahut cabaran itu.

Menurut Ismail, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah akan mewartakan kawasan berkenaan sebagai lokasi pelancongan.

Katanya, pihaknya khuatir jika berlaku penebangan hutan pihak tidak bertanggungjawab.

Pendaki Shahrul Azli Kamis, 34, berkata, kos bayaran yang dikenakan itu berbaloi kerana banyak kemudahan disediakan.

“Jumlah itu berbaloi dan kemudahan serta perkhidmatan termasuk aspek keselamatan disediakan memuaskan dan pengunjung berpuas hati.

“Saya berharap Bukit Senaling akan popular setanding Gunung Angsi yang menjadi tarikan pengunjung meminati aktiviti mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 10:01 AM