SUASANA damai di puncak bukit pada waktu malam.
SUASANA damai di puncak bukit pada waktu malam.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


SEBELUM Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan di Selangor, lima ahli Rawang Hikers berkesempatan melakukan pendakian di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.

Mereka terdiri daripada Heniyati Khairi, 42, Norlelawati Abu Zarim, 49 dan adiknya Noradzila, 40, Faizul Maiza Othman ,49 serta Mohd Khairil Abdul Rashid, 39.

Bukit Batu Pahat terletak di antara Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) cawangan Pertak dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu.

Jarak pendakian dianggarkan lebih kurang 3.2 kilometer.Ia berketinggian 430 meter dari paras laut.

Menurut Norlelawati yang mewakili rakannya, mereka bersepakat melakukan pendakian pada sebelah malam.

"Sebaik sahaja kereta diparkir berhadapan IKBN, lebih kurang jam 6.30 petang kami memulakan pendakian. Terdapat satu lorong yang perlu diikuti untuk menuju ke Bukit Batu Pahat.

"Selain kelengkapan biasa, kami turut membawa 'head lamp' yang berfungsi sebagai lampu utama menerangi laluan trek.

"Kekuatan fizikal dan mental kami diuji ketika berhadapan cabaran menyusuri permukaan tanah merah yang agak keras selain diliputi batu-batuan kecil. Tetapi bagi mereka yang sukakan cabaran itu, ia bukan masalah malah satu kepuasan yang maksimum," katanya.

Selepas 40 minit kemudian, dia dan rakan-rakanya itu berjaya menawan puncak bukit. Lembayung senja malam jelas kelihatan. Langit bertukar kemerahan - merahan. Tiupan angin bayu udara segar membelai diri.

Matahari mula menghilangkan sedikit demi sedikit.

NORLELAWATI (dua dari kiri) bersama empat lagi rakan pendaki Rawang Hikers.
NORLELAWATI (dua dari kiri) bersama empat lagi rakan pendaki Rawang Hikers.

Kemudahan seperti tandas awam dan pondok berehat juga disediakan. Ibadah solat dilakukan berpandukan arah kompas melalui telefon bimbit.

Selain pendakian, kelebihan Bukit Batu Pahat turut dijadikan lokasi paling sesuai untuk pendaki tegar dan pencinta aktiviti sukan luncur udara atau paragliding berlatih.

Di sekitar puncak Bukit Batu Pahat terdapat kesan bongkahan batu yang dikenali Bukit Batu Belah dan mempunyai mitos tersendiri.

Dikatakan pada suatu ketika dahulu, lokasi ini dijadikan sebagai medan pertapaan untuk seorang panglima terkenal. Kemudian pada suatu hari, batu itu 'diibelah' untuk menguji sejauh mana tahap ilmu kekuatan persilatan yang dimiliki.

"Mata kami terpaku tatkala melihat pemandangan terbuka pekan Kuala Kubu pada sebelah malam yang disinari cahaya gemerlapan.

"Kami mengambil kesempatan untuk berehat sebentar sambil menggalas perut dengan bekalan yang dibawa.

"Sesungguhnya pendakian Bukit Batu Pahat di waktu malam tetap memberi kenangan tersendiri dan bererti buat diri kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:27 AM