Sebahagian pendaki Bukit Bosar meraikan sambutan hari kemerdekaan di puncak Bukit Bosar, yang terletak berhampiran Kampung Bayai Baru, Jempol. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Sebahagian pendaki Bukit Bosar meraikan sambutan hari kemerdekaan di puncak Bukit Bosar, yang terletak berhampiran Kampung Bayai Baru, Jempol. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


SETIAP orang mempunyai gaya tersendiri menyambut Hari Kemerdekaan ke-63 termasuk meraikannya di puncak Bukit Bosar, Jempol.

Pendaki, Zainah Adam, 49, yang datang dari Sungai Buloh, Selangor, berkata, Bukit Bosar menjadi destinasinya untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali ini.

"Sebenarnya saya berasal dari kawasan sini iaitu Kampung Bayai Baru dan sangat teruja apabila mendapat tahu kampung saya ada lokasi menarik bagi menyaksikan 'awan karpet'.

"Minggu lepas saya terbaca dalam portal Harian Metro mengenai Kampung Bayai mempunyai lokasi menarik bagi menyaksikan keindahan pemandangan dari Bukit Bosar untuk melihat 'awan karpet' yang saujana mata memandang," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pendaki, Shamsul Akmar Ahmad, 23, dari Kuala Lumpur berkata, sudah banyak tempat tinggi, bukit dan gunung didakinya sebellum ini dan Bukit Bosar ada keistimewaannya tersendiri.

"Bagi saya, Bukit Bosar istimewa kerana ada 'awan karpet' yang cantik dan trek agak mencabar bagi yang baru mencuba aktiviti ini.

"Sudah pasti, saya sangat teruja sebaik sampai ke puncak bagi menyambut Hari Kemerdekaan.

"Tak sangka ramai mendaki Bukit Bosar seawal 6 pagi lagi dan saya rasa hampir 100 orang bergerak dengan kumpulan pendaki dibawa naik Tim Bayai Hikers," katanya.

Sementara itu, Ketua Tim Bayai Hikers, Mohammad Noramin Zakaria, 30, berkata, setiap kali jika cuti umum atau hujung minggu, pihaknya bersedia menjadi jurupandu bagi peminat hiking untuk ke Bukit Bosar.

"Orang ramai sudah tahu Bukit Bosar adalah lokasi baru untuk menyaksikan 'awan karpet' dan tidak perlu pergi jauh.

"Sebelum ini, saya banyak mendaki bukit dan gunung bagi menyaksikan keindahan pemandangan ini, rupa-rupanya ia boleh dilihat di belakang rumah saya.

"Saya bersama pemuda di Kampung Bayai Baru bersedia menjadi jurupandu naik dan turun kerana bimbang ada yang tersesat jalan terutama ketika turun kerana terlalu banyak simpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:30 PM