SENJATA api yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
SENJATA api yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


LIMA lelaki ditahan selepas didapati memiliki dan terbabit urusan niaga senjata api dalam serbuan berasingan di sekitar Perak Tengah.

Semua lelaki berusia antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada 17 Ogos hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Barudin Wariso berkata, dua lelaki ditahan di sebuah di Kampung Nasarudin, Jalan Tronoh dekat Bota pada 1 petang, 17 Ogos lalu.

Menurutnya, pemeriksaan di bengkel berkenaan menemui dua laras senapang angin buatan sendiri.

"Pemeriksaan pada sebuah van dalam bengkel berkenaan membolehkan polis menemui beg hitam yang mengandungi selaras senapang patah bersama dua butir peluru penabur.

"Susulan tangkapan dua lelaki, termasuk pemilik bengkel itu berjaya menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai turut terbabit dalam urusan dan pemilikan tiga senjata api yang dirampas itu.

"Ketiga-tiga lelaki itu ditahan di Perak Tengah, Gemas di Negeri Sembilan dan Segamat di Johor pada 19 Ogos hingga semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Barudin berkata, lima lelaki terbabit direman untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber senjata api dan peluru yang dirampas itu diperoleh.

"Dua lelaki yang ditahan di Perak Tengah direman 18 Ogos hingga hari ini dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis, seorang lagi direman kelmarin hingga esok manakala dua lain direman semalam hingga Selasa depan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:34 PM