Aizat Sharif


Alor Setar: Polis memberkas seorang lelaki selepas menemui sepucuk pistol dan dua butir peluru yang disembunyikan di belakang rumahnya di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, serbuan dilakukan pada 21 Februari jam 5 petang oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda setelah mendapat maklumat orang ramai mengenai pemilikan senjata api oleh lelaki yang berusia 38 tahun itu.

€œApabila ditahan, lelaki yang bertugas sebagai mekanik itu kemudian membawa polis di suatu lokasi di belakang rumahnya sebelum menemui satu bungkusan kain dan plastik diletakkan di celah batu.

“€œApabila polis membuka bungkusan berkenaan, mereka menemui sepucuk pistol semi automatik berwarna perak tanpa jenama yang sudah berkarat, satu kelopak peluru dan juga dua butir peluru .22 kaliber.

“Suspek juga tidak mempunyai lesen memiliki senjata api,” katanya kepada media di sini hari ini.

Asri berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan pistol berkenaan untuk tujuan jenayah namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“€œSuspek yang berasal dari Kuala Ketil itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“€œSuspek kini ditahan reman sehingga 28 Februari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960 kerana kesalahan memiliki pistol dan juga peluru tanpa kebenaran,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Asri berkata, polis turut melanjutkan tahanan reman seorang penoreh getah yang ditangkap kerana memiliki selaras senapang berserta sembilan butir peluru penabur, dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram, di Hutan Simpan Ulu Muda, pada Rabu lalu.

Katanya, lelaki berusia 49 tahun yang berasal dari Sik Kedah itu sebelum ini direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan berhubung dengan penemuan senapang dan peluru berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah menahan seorang lelaki yang membawa selaras senapang patah bersama sembilan butir peluru penabur, dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram, di Hutan Simpan Ulu Muda, pada 22 Februari lalu .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 3:44 PM
Mohd Asri (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Mohd Nashir Ya (tiga dari kanan) menunjukkan senapang semi auto dan sepucuk pistol di sini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Mohd Asri (dua dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Mohd Nashir Ya (tiga dari kanan) menunjukkan senapang semi auto dan sepucuk pistol di sini. FOTO Sharul Hafiz Zam