Ipoh: Polis menyerbu bengkel membuat senjata api haram dan merampas tujuh senapang buatan sendiri, selain peluru serta memberkas lima lelaki dalam dua serbuan berasingan di daerah Kerian dan Taiping, dekat sini, pada Ahad dan Isnin lalu.

Difahamkan, semua suspek yang diberkas adalah warga tempatan dan bekerja kampung serta dipercayai membuat senapang berkenaan untuk dijual.

Menurut sumber, serbuan pertama dilakukan Ahad lalu terhadap sebuah premis di Kerian dipercayai menjadi bengkel senjata api haram manakala serbuan susulan dibuat di sekitar Taiping.

“Hasil serbuan di kedua-dua lokasi berkenaan berjaya menemui tujuh senapang buatan sendiri selain 12 peluru penabur.

“Tujuh senapang ditemui membabitkan empat yang siap dan tiga lagi dalam proses pembuatan.

“Kebiasaannya senjata buatan sendiri atau senapang angin yang dibuat menggunakan bebola besi sebagai peluru, namun senapang yang dirampas ini menggunakan peluru betul iaitu peluru penabur,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut sumber itu, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan di beberapa lokasi lain bagi memastikan semua pihak yang terbabit dalam kes senjata api buatan sendiri itu dapat diberkas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejayaan itu dan memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes terbabit bagi mengumpul maklumat lanjut.

Sementara itu, penahanan lima suspek dan rampasan senjata berkenaan turut disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:16 AM