KHAIRIL Muzzammir meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah. FOTO ihsan Polis
KHAIRIL Muzzammir meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah. FOTO ihsan Polis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PEGAWAI polis berpangkat Inspektor maut dalam kemalangan motosikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Padang Katong, Kangar, 9.50 malam tadi.

Mangsa, Inspektor Khairil Muzzammir Abdullah Sani, 34, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Kemalangan dua motosikal itu turut membabitkan lelaki berusia 18 tahun dan ibunya, 43, yang cedera.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dari arah Jalan Raja Muda ke Bintong sedang menaiki motosikalnya sebelum melanggar motosikal dinaiki dua beranak terbabit yang keluar dari persimpangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sejauh 25 meter sebelum melanggar tiang.

"Dua beranak terbabit mengalami kecederaan luka di siku dan kaki selain penunggang berusia 18 tahun itu mengadu sakit pinggang sebelum mereka dibawa ke HTF bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, hasil ujian air kencing terhadap penunggang lelaki terbabit mendapati dia positif syabu ketika menunggang motosikal berkenaan.

"Dia kini direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 12:55 PM