Dziyaul Afnan Abdul Rahman

WARGA emas yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh penunggang motosikal dan mendatangkan kecederaan serius terhadap mangsa semalam direman hingga esok.

Perintah penahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah pagi tadi di Kompleks Mahkamah Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata penahanan reman lelaki berusia 63 tahun itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan pihaknya.

Menurutnya, perkara berkenaan amat menyedihkan kerana kejadian sedemikian tidak pernah berlaku sejak bertahun lamanya di Perlis.

"Kes ini kali pertama berlaku sepanjang saya menjadi Ketua Polis Daerah Kangar sejak 2016," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini media melaporkan penunggang motosikal berusia 41 tahun cedera termasuk retak tempurung kepala selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa Bishamhadi Mohamad Hasbi, dikatakan menunggang motosikal untuk pulang dari kedai runcit sebelum suspek berusia 63 tahun yang memandu kereta Iswara terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa dari belakang.

WARGA emas direman dua hari selepas menyebabkan penunggang motosikal retak tempurung kepala dan cedera di anggota tubuh badan selepas dirempuhnya yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
WARGA emas direman dua hari selepas menyebabkan penunggang motosikal retak tempurung kepala dan cedera di anggota tubuh badan selepas dirempuhnya yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Berita berkaitan

Dirempuh pemandu mabuk, retak tempurung kepala

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:04 PM