Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS menahan mekanik berusia 20 tahun di Padang Katong di Kangar, semalam bagi membantu siasatan kes rogol pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kini hamil lapan bulan.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian bermula November tahun lalu selepas mangsa yang mengenali suspek melalui aplikasi WhatsApp dibawa ke kawasan hutan di sekitar daerah ini sebelum dirogol.

"Mangsa turut dirogol di beberapa lokasi lain antara November hingga Januari lalu dengan lokasi terakhir di sebuah rumah kosong berhampiran kediaman suspek.

"Ibu bapa mangsa hanya mengetahui perkara itu selepas guru sekolah mangsa hadir ke rumah mereka pagi semalam, bagi memaklumkan yang anak mereka hamil lapan bulan.

"Ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada tengah hari berkaitan kejadian terbabit," katanya hari ini.

Wari berkata, pihaknya sudah merakam keterangan mangsa dan mangsa kemudiannya dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

"Mangsa kini dirawat di wad hospital berkenaan manakala suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:23 PM