Nor Fazlina Abdul Rahim

POLIS Kelantan merampas 56 kilogram ganja, 55 Eramin 5 dan 157 peluru hidup dalam serbuan di Kampung Bukit Lata, dekat Rantau Panjang, Khamis lalu.

Serbuan jam 4.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Katanya, hasil serbuan menemukan 157 biji peluru pistol dan sebanyak 55 biji Eramin 5 di dalam rumah berkenaan.

"Hasil soal siasat, polis dibawa ke sebuah rumah kira-kira 100 meter daripada lokasi pertama sebelum menemui 56 kilogram ketulan mampat ganja.

"Polis turut menyita dua kenderaan milik suspek dan kes rampasan keseluruhan bernilai RM300,000," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dan bekalan dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran.

"Kita percaya suspek bergiat dalam kumpulan dan saki baki kumpulan berkenaan sedang dikesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.

Pada sidang media berkenaan, Shafein turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 pegawai dan anggota PGA yang terbabit dalam serbuan berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Komisioner Shafein Mamat (tengah) bersama Pegawai anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menunjukkan barang rampasan 56 kilogram dadah jenis ganja, 55 biji Eramin 5 dan 156 peluru hidup bernilai RM114,000 dalam serbuan di Kampung Bukit Lata dekat Rantau Panjang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 3:59 PM