Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis sudah mengenal pasti dalang yang dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah yang tumpas minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan Shafein Mamat berkata, usaha mengesan suspek berusia awal 30-an itu sudah dipergiatkan.

"Suspek masih bebas dan kita sudah mencari di beberapa lokasi tetapi dia melarikan diri.

"Bagaimanapun, kita percaya dia masih berada dalam negara," katanya hari ini.

Dalam serbuan pada 10 malam Selasa lalu, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menyerbu sebuah rumah di Tanjung Chat di sini.

Dalam serbuan itu, sejumlah bungkusan guni yang diletakkan di atas lantai ruang tamu rumah tanpa penghuni itu ditemui iaitu ganja sebanyak 1,293 kilogram (kg), syabu (972.40kg), pil Yaba (11,800 biji) selain sepucuk pistol jenis Glock dan lapan butir peluru hidup yang dianggarkan bernilai lebih RM42 juta.

Shafien Mamat (tengah) ketika sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Shafien Mamat (tengah) ketika sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Shafein berkata, enam suspek termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 33 tahun sudah ditahan dan direman selama seminggu yang berakhir sehingga esok.

Menurutnya, rumah yang disewa sejak dua tahun lalu itu dijadikan transit untuk kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan sindiket itu dipercayai aktif sejak empat bulan lalu.

"Kami turut membuat sitaan terhadap dua akaun bank atas nama dua suspek yang mengandungi wang berjumlah RM18,760 dan RM185,798 selain tiga kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Perodua Myvi dan sebuah motosikal.

"Lima lelaki yang ditahan masing-masing memiliki satu, dua dan empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan dua daripada mereka positif Methampethamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Dalam kes berasingan pada 7 pagi Khamis lalu, sebanyak 441 kg syabu ditemui di tepi Sungai Golok di pangkalan haram Syarifah, Pasir Mas yang dianggarkan bernilai RM17.6 juta.

Bagaimanapun, rampasan itu dilakukan oleh pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 6:30 PM