Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas merampas ganja dan syabu bernilai RM4.5 juta menerusi dua serbuan di Kota Bharu dan Tanah Merah.

Serbuan dilakukan di dua lokasi di Kota Bharu merampas 393 kilogram (kg) dadah jenis ganja pada Selasa lalu dan syabu seberat 100kg semalam hasil operasi yang dilakukan sepasukan pegawai dari Bukit Aman dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

Menerusi serbuan berkenaan, polis turut menahan tujuh individu termasuk tiga perempuan berusia 27 hingga 51 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan pertama membabitkan sebuah rumah taman dan berhampiran hotel jam 8 malam.

"Serbuan itu dilakukan hasil intipan yang dilakukan pihaknya selama sebulan setengah membawa kepada penahanan empat individu termasuk dua perempuan berusia 31 hingga 50 tahun.

"Hasil serbuan berkenaan, polis merampas 393 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM982,000 yang boleh digunakan seramai 786,000 individu.

RAZARUDIN (kanan) diiringi oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat menunjukkan rampasan ganja dan syabu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAZARUDIN (kanan) diiringi oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat menunjukkan rampasan ganja dan syabu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Bekalan dadah yang diperoleh dari Thailand itu dipercayai untuk dihantar ke Johor bagi menembusi pasaran Indonesia. Keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Sindiket berkenaan menggunakan lori muatan perabot untuk menghantar bekalan terbabit bagi mengaburi daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.

Razarudin berkata, serbuan kedua dilakukan di rumah di Tanah Merah pada 9.30 pagi semalam yang membawa kepada rampasan syabu sebanyak 100 kg bernilai RM3.6 juta.

Katanya, polis turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia 27 hingga 39 tahun.

"Modus operandi sindiket berkenaan adalah mengubah suai kenderaan pacuan empat rodajenis Mistubishi Triton dengan membuka lantai untuk menyimpan 100 paket syabu.

"Bekalan terbabit dipercayai untuk dihantar ke Kuala Lumpur yang boleh digunakan untuk 1 juta penagih," katanya.

Beliau berkata, bagi kedua-dua rampasan berkenaan untuk kegunaan 1.7 juta individu sekiranya dadah terbabit terlepas ke pasaran.

"Kesemua individu yang ditangkap adalah warga tempatan yang berperanan sebagai orang tengah dengan mengambil

upah membawa bekalan berkenaan. Kita percaya upah yang diterima mereka adalah lumayan," katanya yang kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 1:35 PM