LUKISAN mural bertemakan Pesona Jelebu di Kuala Klawang.
LUKISAN mural bertemakan Pesona Jelebu di Kuala Klawang.
Abnor Hamizam Abd Manap


PELUKIS mural bukan sahaja perlu kreatif bagi menghasilkan lukisan dinding yang cantik, namun perlu berdepan cabaran ketika melakukan kerja seni itu.

Zakir Amir Mohd Derus, 57, berkata, sebaik menerima sesuatu permintaan bagi melukis mural, dia membuat lakaran awal bagi memastikan lukisan yang dilukis sesuai dengan dinding.

Katanya, sebaik jenis lukisan itu dipersetujui, dia bersama rakan-rakan membersihkan dinding atau tembok dengan membuang cat lama dan menampal dinding yang rosak.

"Sebaik semua urusan selesai, kami melakukan kerja awalan dengan membuat lakaran berdasarkan reka bentuk lukisan yang sudah dipersetujui.

"Kerja mengecat pula biasanya menggunakan cat bermutu tinggi yang mampu mengekalkan mural sehingga sekurang-kurang 10 tahun, namun perlu melakukan penyelenggaraan sekurang-kurangnya setiap tiga tahun sekali," katanya.

Zakir Amir yang berasal dari Kampung Renal, Jelebu, Negeri Sembilan berkata, dia mendapat kepercayaan dari Majlis Daerah Jelebu (MDJ ) bagi melukis mural di Kuala Klawang.

"Seseorang pelukis mural perlu mempunyai bakat melukis selain berdisiplin.

"Sebelum ini saya pernah melukis potret di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan kini sudah 12 tahun mempunyai pengalaman melukis mural," katanya.

Menurutnya, dia tidak belajar melukis secara formal di mana-mana kolej sebaliknya belajar sendiri berikutan ahli keluarganya ramai terbabit dalam seni berkenaan.

ZAKIR Amir melukis mural di Kuala Klawang.
ZAKIR Amir melukis mural di Kuala Klawang.

"Selain melukis mural di Kuala Klawang, saya bersama rakan-rakan pernah melukis mural di Seremban, Rembau, Nilai dan di Pahang.

"Cabaran dihadapi ketika melukis mural adalah keadaan struktur bangunan atau dinding lama yang tidak kuat, dinding tidak rata (berlekuk) dan rosak terutama dinding yang berada di bahagian luar berikutan terdedah kepada cuaca," katanya.

Akuinya, cabaran paling besar apabila diberi tanggungjawab melukis mural pada bangunan tinggi atau lebih setingkat kerana faktor keselamatan turut diambil kira.

Mengulas lanjut, Zakir Amir berkata, lukisan mural di Kuala Klawang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan berikutan keadaan bangunan selain hujan.

Lukisan mural di Kuala Klawang itu mengetengahkan identiti biodiversiti, ekopelancongan, adat dan budaya daerah ini yang diharap mampu menjadikan tarikan pengunjung.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu Abdul Rahim A Aziz berkata, lukisan mural berkenaan antara program di bawah Local Agenda 21 melalui Program Mural dan Street Art Kuala Klawang.

Katanya, ia bertujuan untuk mencantikkan dan mengimarahkan lagi bandar Kuala Klawang melalui lukisan mural.

"Lukisan itu memaparkan keunikan dan keistimewaan yang ada di Jelebu dengan pelbagai flora dan fauna, jeram dan sungai yang masih terpelihara keadaan semula jadinya serta pelbagai aktiviti tradisional seperti mengemping padi yang masih diamalkan.

LUKISAN mural di Kuala Klawang mengetengahkan adat dan budaya daerah Jelebu.
LUKISAN mural di Kuala Klawang mengetengahkan adat dan budaya daerah Jelebu.

"Bagi mewakili keunikan dan pelbagai keistimewaan yang ada di Jelebu ini maka terhasil Mural Pesona Jelebu dan berharap ia menjadi daya tarikan baharu di Kuala Klawang ini," katanya.

Abdul Rahim berkata, MDJ mendapatkan khidmat Persatuan Pelukis Negeri Sembilan selain pegawai dan kakitangan MDJ bagi menghasilkan lukisan mural dengan kos RM18,000.

Katanya, lokasi lukisan mural itu juga berada di lokasi strategik dan MDJ memilih lokasi itu kerana akan memberi impak daripada pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.

"Kawasan mural itu mempunyai laluan pejalan kaki, sekali gus tidak mengganggu kelancaran trafik di lokasi itu.

"MDJ akan menambah lagi lukisan mural pada masa akan datang dengan tema berlainan, namun masih menonjolkan identiti Jelebu seperti warisan, bukit bukau dan aktiviti yang dijalankan di daerah ini," katanya.

Abd Rahim berkata, selain Program Mural dan Street Art Kuala Klawang, program pembersihan dan pengindahan Wording Monumen, pengindahan Bukit Tajali dan pengindahan Dataran Simpang Pertang antara yang dilaksanakan menerusi Local Agenda 21.

Ia menerusi peruntukan dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain membabitkan agensi kerajaan di Jelebu, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 7:00 AM