MUHAMMAD Hafizi Imane (tengah) dan Muhammad Syamil (kanan) mendeklamasi sajak sambil diperhatikan Bakri (dua kiri) di puncak Bukit Batu Sawa, Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam
MUHAMMAD Hafizi Imane (tengah) dan Muhammad Syamil (kanan) mendeklamasi sajak sambil diperhatikan Bakri (dua kiri) di puncak Bukit Batu Sawa, Jelebu, hari ini. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


DUA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Syed Ali Al Jufri (DUSAJ) teruja apabila diberi peluang mendeklamasi sajak sempena kemerdekaan negara di puncak Bukit Batu Sawa, Jelebu, hari ini.

Mohd Syamil Muhamad Zaki dan Muhammad Hafizi Imane Atif Raza, masing-masing berusia 16 tahun membacakan sajak bertajuk Negaraku dengan penuh perasaan di hadapan 75 peserta Program Mendaki Sayangi Malaysia Ku.

Mohd Syamil berkata, walaupun berasa malu pada awalnya kerana tidak mengenali sebahagian peserta program anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang itu, dia tidak menolak kerana mahu menyatakan rasa cinta kepada negara.

“Kami mula mendaki jam 6.45 pagi bersama peserta lain termasuk ADUN Klawang (Bakri Sawir) selain ahli Kelab Guru dan Staf SMK DUSAJ, Kelab Belia Peradong dan Kumpulan Pendaki Bega sebelum tiba di puncak kira-kira sejam kemudian.

“Selepas berehat kira-kira 30 minit, kami memulakan program seterusnya iaitu mendeklamasikan sajak sempena meraikan kemerdekaan negara,” katanya.

Sementara itu, Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri berkata, pelbagai cara boleh dilakukan golongan muda untuk meraikan Hari Kebangsaan secara sihat.

Beliau berkata, antara aktiviti paling mudah dan murah adalah mendaki bukit beramai-ramai yang secara tidak langsung akan turut mempopularkan kawasan berkenaan yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan.

“Terdapat banyak bukit di Jelebu yang semakin terkenal di kalangan pendaki tempatan dan luar negeri. Kita menyokong aktiviti seperti ini yang boleh mengelakkan anak muda terjebak dalam aktiviti tidak sihat terutama gejala sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 2:43 PM