KAWASAN berlakunya letupan di Beirut, Lubnan. FOTO AFP
KAWASAN berlakunya letupan di Beirut, Lubnan. FOTO AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PASUKAN pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) di Lubnan bersiap sedia memberi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) sekiranya komitmen itu diperlukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pasukan pengaman berkenaan masih meneruskan operasi seperti biasa di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

"ATM sentiasa komited terhadap pelaksanaan tugas serta tanggungjawab dalam membantu memelihara keamanan di negara berkenaan.

"Semua anggota juga berada dalam keadaan selamat dan tidak terbabit dalam insiden yang berlaku di negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ATM sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan bersiap sedia dalam apa juga kemungkinan yang memerlukan tindakan lanjut dilaksanakan oleh pasukan MALBATT berkenaan.

"ATM juga menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Lubnan yang terkesan dengan insiden berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 7:13 PM