FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Johor Bahru: Pembukaan sempadan darat antara Malaysia-Singapura sejak 1 April lalu memberi kelegaan kepada banyak pihak khususnya peniaga barangan keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekitar bandar raya ini.

Tinjauan mendapati ada peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan tempatan dan warga Singapura yang mahu menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah selepas lebih dua tahun terkesan akibat pandemik Covid-19.

Peniaga biskut tradisional dan moden Mohd Naharudin Isa, 53, berkata beliau tidak menyangka gerai jualannya di sebuah pusat beli belah di sini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

"Saya sangka perniagaan tidak begitu rancak tetapi alhamdulillah apabila kerajaan benarkan sempadan negara dibuka, rakyat Singapura boleh masuk, sambutannya seperti sebelum wabak Covid-19," katanya.

Beliau yang sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata walaupun mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, pihaknya berdepan masalah pengeluaran produk kerana kekurangan tenaga pekerja.

Seorang lagi peniaga, Suhaiza Ibrahim, 45, turut menzahirkan kesyukuran apabila perniagaannya kembali pulih dan kini sibuk memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau berkata pembukaan sempadan serta negara memasuki fasa peralihan ke endemik memberi sinar baharu buat peniaga sepertinya.

"Sebelum pandemik pelanggan kita dalam 80 peratus adalah warga Singapura. Kita alami kemerosotan yang teruk (semasa pandemik) dengan longgokan stok kuih yang tidak terjual," katanya yang menjual 50 jenis kuih raya.

Sementara itu, warga Singapura, Nur' Aida Purwantu Jame'at, 31, berkata pembukaan sempadan antara kedua-dua negara membolehkan beliau mencari barang keperluan untuk sambutan Aidilfitri di Johor Bahru yang menawarkan pelbagai pilihan.

"Sudah dua kali saya masuk (Malaysia) sejak sempadan dibuka untuk mencari kuih raya… ada juga kawan dan saudara mara kirim, jadi saya tolong belikan," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dengan beberapa kelonggaran mula diberikan, antaranya pembukaan sempadan negara, premis perniagaan boleh beroperasi mengikut masa lesen perniagaan masing-masing dan tiada penjarakan fizikal semasa solat di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 1:55 PM