Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan telah menyalurkan RM20.932 bilion kepada 357,907 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) setakat 22 Julai lalu untuk mengekalkan penggajian seramai 2.96 juta pekerja tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu juga bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata, menerusi PSU 1.0, 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan mencecah RM12.958 bilion, setakat 22 Julai lalu.

Bagi PSU 2.0 pula, RM1.408 bilion telah disalurkan kepada 81,165 majikan agar terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 719,185 pekerja.

"Di bawah PSU 3.0, setakat tempoh sama, RM3.776 bilion telah disalurkan kepada 162,317 majikan untuk mengekalkan penggajian 1.53 juta pekerja.

"Malah, PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemerkasa Tambahan," kata beliau dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-106 yang dikeluarkan hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, bagi PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), RM2.58 bilion disalurkan kepada 163,942 majikan agar terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1.92 juta pekerja setakat 22 Julai lalu.

Beliau berkata, bagi PSU 5.0, RM215.44 juta telah disalurkan kepada 7,999 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 121,907 pekerja.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, 92 syarikat telah memohon untuk Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) dengan jumlah jaminan yang telah diluluskan berjumlah RM2.095 bilion bagi 62 buah syarikat bagi tempoh setakat 29 Julai lalu.

"Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan atau yang ditambah baik bagi memberi bantuan serta menyokong pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM4.5 bilion.

"Penambahan ini meningkatkan lagi jumlah dana yang tersedia pada pertengahan September 2021 kepada RM11.2 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 12:11 PM