RESTORAN McDonald's di Moscow. FOTO EPA
RESTORAN McDonald's di Moscow. FOTO EPA
Agensi

Kyiv: Rangkaian perniagaan gergasi termasuk McDonald's, Coca-Cola dan Starbucks menyertai senarai firma yang menghentikan perniagaan di Rusia kerana tindakan negara itu menceroboh Ukraine.

McDonald's berkata, ia menutup sementara kira-kira 850 restorannya di Rusia, manakala Starbucks juga menyatakan 100 kedai kopinya akan ditutup, lapor BBC News.

Pada Rabu, Heineken menghentikan pengeluaran dan penjualan bir di Rusia.

Mothercare berkata, semua perniagaannya di Rusia, yang mewakili 20 hingga 25 peratus daripada jualan globalnya, sudah dihentikan.

Di tempat lain, syarikat tembakau Imperial Brands - kumpulan di sebalik jenama termasuk rokok JPS dan Davidoff berkata, ia menghentikan pengeluaran di kilangnya di Volgograd, langkah yang memberi kesan kepada kira-kira 1,000 pekerja.

Ia juga menggantung operasinya di Ukraine atas kebimbangan keselamatan kakitangan.

Rusia dan Ukraine bersama-sama menyumbang dua peratus daripada pendapatan bersih Imperial tahun lepas, iaitu kira-kira 656 juta pound sterling (kira-kira RM3.6 bilion).

Sementara itu, British American Tobacco menghentikan pelaburan di Rusia, tetapi berkata perniagaannya di negara itu terus beroperasi.

Langkah-langkah oleh McDonald's, Coca-Cola dan Starbucks diambil selepas tekanan yang meningkat terhadap syarikat untuk bertindak, susulan perang di Ukraine.

Bagaimanapun, ketiga-tiga firma itu akan terus membayar kakitangan mereka.

Anna MacDonald, pengurus dana di Amati Global Investors, memberitahu Program BBC Radio 4 Today bahawa firma yang menyertai gelombang itu berbuat demikian kerana pemegang saham dan kepentingan yang lebih luas tidak akan menyokong "penjanaan pendapatan dan keuntungan yang berterusan".

"Ia menjejaskan harga saham mereka dan rasanya adalah tidak wajar untuk terus berbuat demikian," katanya.

McDonald's membuka perniagaannya di Moscow pada tahun 1990 ketika Kesatuan Soviet membuka ekonominya.

Penutupannya boleh mempengaruhi firma lain.

Bagaimanapun, saingan rangkaian makanan segera Burger King, pada masa ini, kekal membuka restorannya di Rusia.

Ia memberikan AS$3 juta (kira-kira RM12.5 juta) untuk menyokong pelarian Ukraine dan berkata, orang yang melarikan diri ke negara Eropah boleh mendapat baucar percuma Whopper.

Pemilik Burger King, berkata ia akan mengalihkan keuntungannya daripada lebih 800 operasi francais di Rusia kepada usaha kemanusiaan.

Syarikat itu memberitahu BBC, cawangan Rusia dikendalikan oleh pemegang francais yang mana ia mempunyai "perjanjian undang-undang yang sudah lama wujud" yang tidak mudah untuk diubah pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 1:11 PM