DATUK Johari Alifiah menunjukkan kayu yang dirampas. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DATUK Johari Alifiah menunjukkan kayu yang dirampas. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


CUBAAN menyeludup kayu merah (red sandalwood) bernilai RM4.6 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Cawangan Narkotik.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa/Pematuhan), Datuk Johari Alifiah, berkata kayu berjumlah 238 batang dengan anggaran berat 8,000 kilogram itu diimport dari India melalui penahanan kontena 6.096 meter.

Menurutnya, kayu itu dipercayai untuk digunakan sebagai bahan perubatan tradisional di negara ini dan JKDM sudah kenal pasti dalang bagi menyelesaikan kes berkenaan.

"Ketika pemeriksaan, tiada pengikraran borang import dibuat pengimport ke atas barangan dagangan itu dan dokumen perkapalan menunjukkan dagangan dalam kontena itu diikrakan sebagai kaburator dan alat ganti kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media JKDM di Pelabuhan Klang hari ini.

Menurut Johari, kes itu di siasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Berdasarkan kes lalu, JKDM tidak menolak kemungkinan sindiket membawa masuk kayu ini menggunakan pintu masuk berbeza bagi mengelirukan pihak berkuasa keselamatan.

"Selain melalui risikan, JKDM juga menggunakan mesin pengimbas bagi mengesan barangan yang di seludup di pintu masuk negara dan juga kargo.

"JKDM akan menyiasat taktik digunakan penyeludup yang sentiasa mengambil kesempatan atas kelekaan pihak keselamatan di samping memburu dalang utama kegiatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 10:44 PM