HASIL rampasan arak oleh JKDM di Pelabuhan Utara. FOTO IHSAN JKDM
HASIL rampasan arak oleh JKDM di Pelabuhan Utara. FOTO IHSAN JKDM
Faliqah Alia Radin Mohd


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan penyeludupan minuman keras susulan penahanan tujuh kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, kejayaan itu adalah hasil pemantauan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) agensi dengan kerjasama Cawangan Narkotik.

"Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill Of Lading) dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan barangan di dalam kontena itu diikrarkan sebagai beg, botol plastik, pelekat, tali pinggang dan cawan yang diimport dari salah sebuah negara di Asia Timur.

"Siasatan awal juga mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah selain tiada pengikraran borang import (K1) dibuat oleh pengimport ke atas dagangan berkenaan.

"Tujuh kontena berkenaan didapati tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 6 Jun lalu.

"Sejumlah 99,120 liter bir yang dirampas dianggarkan bernilai RM597,000 dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM3.17 juta." katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket berkenaan juga sedang dikesan.

"Sehingga kini, syarikat perkapalan disoal siasat bagi membantu siasatan.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 kerana disyaki melakukan kesalahan terbabit dalam mengimport barang tak berkastam atau barang larangan selain memiliki barang yang mana duti eksais belum dibayar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 5:45 PM