Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai di Batu Pahat. FOTO Ihsan Pembaca
Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai di Batu Pahat. FOTO Ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin


MAYAT lelaki berusia 38 tahun yang terjun dari Jambatan Parit Warijo, Sri Medan kelmarin, ditemukan pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, mayat Lim Yong Lee ditemukan 8.10 pagi kira-kira satu kilometer dari lokasi yang dipercayai terjatuh.

Katanya, saksi melihat lelaki itu dipercayai terjun daripada jambatan berkenaan pada jam 9.15 malam kelmarin sebelum menghubungi bomba untuk bantuan selepas dia tidak timbul.

Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, BBP Kluang, BBP Tebrau dan BBP Batu Pahat dikejarkan ke tempat kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan dilakukan dalam radius 500 meter di lokasi lelaki itu dipercayai terjun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan penemuan mayat itu, operasi ditamatkan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:04 PM